6 Perkara Harus Diketahui Sebelum Memelihara Binatang

Filem-filem banyak memaparkan betapa seronoknya memelihara seekor haiwan. Seekor anjing untuk bermain bersama anak-anak, seekor kucing untuk dibelai, seekor harimau kesayangan watak-watak antagonis… namun kisah-kisah ini jarang memaparkan sisi buruk dalam membela haiwan. Hasilnya, ramai yang pada asalnya cuba untuk memelihara akhirnya mengabaikan dan membuang haiwan mereka di jalanan.

Jangan pelik, mereka yang membuang haiwan dijalanan jarang kelihatan seperti orang jahat pada keperibadian mereka. Mereka mungkin orang yang sering tersenyum di pejabat, tinggal hingga lewat dan overtime. Walaupun begitu, kerana mentaliti minda dan budaya masyarakat yang sering melihat haiwan terseksa sebagai perkara biasa ( walaupun masih merasa hiba dan marah apabila melihat mayat manusia) tidak akan berasa terlalu bersalah apabila meninggalkan haiwan yang dipelihara.

Oleh itu, supaya anda dapat menjadi pemelihara haiwan yang baik, beretika dan bermoral, baca senarai dibawah dan fikirkan sama ada anda telah bersedia ataupun tidak.

Menjaga Haiwan adalah Sama Seperti Menjaga Anak

Ya, siapa kata ia mudah? Menjaga haiwan adalah seperti menjaga anak, bezanya kita perlu melatih mereka sendiri sementara anak-anak dapat dihantar ke sekolah. Jangan sangka kerana mereka haiwan, mereka akan turut setiap perintah kamu. Ingat, walaupun kamu adalah tuannya, kamu hanya manusia biasa, malahan itu hanya pada persepsi kamu. Kamu tidak tahu bagi mereka bagaimana pula. Mungkin bagi mereka kamu adalah ibu, bapa, teman rumah, atau ‘peliharaan’ mereka.

Seperti mana anak-anak akan merajuk dan ‘buat perangai’ apabila tidak berpuas hati, begitu juga mereka. Andai kamu menghukum atau mengabaikan anak-anak manusia, sudah pasti kamu akan dipenjarakan atau disabitkan kesalahan. Malang sekali, undang-undang mengenai penjagaan haiwan peliharaan tidak begitu ketat, jadi hak-hak mereka jarang diperjuangkan.

Adalah kasihan apabila membaca ramai sanggup melepaskan haiwan-haiwan peliharaan kepada orang lain apabila berpindah, daripada mebawanya juga sekali. Bolehkah mereka melepaskan anak-anak mereka kepada orang lain apabila mereka mahu berpindah?

Haiwan Juga Membuang Air

Ini jarang dipaparkan dalam cerita-cerita haiwan, namun hakikat dan fakta hidup, setiap makhluk bernyawa perlu menyerap nutrisi dan berkumuh. Tumbuh-tumbuhan juga mengambil karbon dioksida dan mengkumuh oksigen di siang hari dan sebaliknya di waktu malam.

Memang comel apabila mereka sedang makan, tetapi harus difikirkan juga bagaimana keadaan apabila mereka ingin membuang air besar. Mereka perlu dilatih untuk membuang air di tempat-tempat tertentu dan adalah tanggunggjawan pemelihara untuk membersihkannya sekerap mungkin. Seperti kita, mereka juga akan berasa tidak selesa untuk membuang air sekiranya tandas amat kotor.

Ada sesetengah pemelihara yang tidak bertanggungjawab dan membiarkan haiwan peliharaan mereka membuang air merata-rata di tempat awam, menjadikan orang lain yang tidak membela haiwan tersebut tidak selesa dan boleh membenci haiwan tersebut.

Haiwan Mempunyai Perasaan

Siapa di sini pernah membaca kisah kucing bertanduk? Penulis tidak berapa ingat kisahnya dan apa perkaitannya dengan tanduk, namun penulis boleh ingat bahawa kisahnya amat sayu, dimana kemangkatan seorang sultan, pemilik kucing tersebut,amat memberi kesan pada kucing tersebut hinggakan ia sentiasa setia menunggu di pusara.

Tambahan itu, banyak lagi kisah dimana seekor haiwan setia menunggu tuan mereka biarpun telah pergi meninggalkan dunia, contohnya kisah anjing setia bernama Hachiko yang difilemkan dalam dua bahasa, Jepun dan Inggeris. Barangkali mereka tidak memahami konsep kematian seperti manusia.Walau bagaimanapun, ini juga membuktikan bahawa untuk mereka terdapat kesetiaan.

Haiwan juga boleh berasa sayu, murung, gembira dan penat. Seekor anjing akan merendahkan kepala dan meletakkan ekor dicelah kaki sebagai tanda takut. Seekor kucing akan menyeringai dan meremangkan bulu-bulu mereka apabila marah.

Dengan itu, jangan sangkakan mereka sentiasa comel dan bersifat gembira. Terimalah mereka seadanya, kerana mereka juga dilahirkan dengan perasaan dan pemahaman yang kompleks seperti kita.

Haiwan Boleh Sakit Seperti Manusia

Kucing penulis mati akibat telah uzur dan tua. Penulis juga pernah membaca mengenai kucing yang mati akibat diabetes. Sekiranya anda sering membaca kisah haiwan di Pet MD atau Care2Causes, anda akan mendapati banyak haiwan yang mati dengan penyakit seakan-akan penyakit manusia. penyakit batu karang, diabetes, sakit jantung. Penyakit-penyakit itu bukan eksklusif berlaku pada manusia sahaja.

 

Haiwan Bukan Patung, Mereka Perlu Bermain dan Aktiviti

Penulis berasa kasihan melihat seekor anjing peliharaan jiran. Oleh disebabkan pemelihara sebenarnya sering awal pergi kerja, ia ditinggalkan dengan bapanya yang sudah tua. Bapanya pula penulis tidak pernah lihat bermain dengannya. Kemudian pula, apabila ia menyalak kerana seronok melihat benda-benda baru dan mengasyikkan melintasi hadapan rumah, ia diherdik bapa jiran penulis dan disuruh diam.

Memang salakan anjing boleh mengganggu jiran, tetapi pemelihara juga mempunyai tanggungjawab memastikan kebahagiaan haiwan tersebut. Pelik apabila ia sukar dipenuhi. Anjing tersebut tidak meminta iPad, iPhone, PC atau kereta Lamborghini. Ia cuma ingin bermain.

Ini bukan khusus pada anjing itu sahaja. Kucing, hamster, arnab, kesemua jenis haiwan peliharaan perlukan aktiviti bersama pemeliharanya. Ini adalah masa untuk ikatan tersebut terjalin, bukan sekadar pemelihara mengenali mereka, malahan untuk haiwan tersebut juga mengenali penjaga yang mereka sayangi itu.

Haiwan Akan Mati Juga

Ini merupakan antara yang paling penting. Bagi sesiapa yang telah menerima cabaran-cabaran di atas, anda akan mengalami satu kemurungan sekiranya anda berjaya merapatkan diri dengan mereka. Tetapi, janganlah menganggap ini satu keburukan, kerana barangkali ini adalah satu rahmat. Seorang manusia yang memahami konsep pemergian lebih berkeupayaan untuk meneruskan hidup.

Daripada sedih apabila kematian seekor haiwan, cuba anda fikir apa yang akan berlaku sekiranya anda yang mati dahulu sebelum haiwan tersebut. Mungkin anda ada ahli keluarga yang sanggup menjaganya, tetapi bagaimana pula apabila mereka tidak mahu mengambilnya, atau anda tiada orang lain untuk menjaganya? Maka terbiarlah ia, dan mampukah ia teruskan hidup setelah berada dalam jagaan seseorang hampir seumur hidupnya?

Ditambah pula sesetengah yang tidak memahami bahawa tuan mereka telah pergi, bukankah sayu melihat mereka berulang mencari tuan mereka, di tempat yang sama, setia tanpa memahami?

Jadi, seandainya kematian haiwan peliharaan tersayang berlaku kepada anda, anggaplah ia satu semangat dan kejayaan bahawa anda mampu memberikan kasih sayang pada seekor haiwan sehingga nafas terakhirnya, berbanding tuan-tuan lain yang gagal dan mengabaikan haiwan mereka di jalanan.

 

bunting-murah

Comments

0 comments… add one

Leave a Comment