Amanah Kualiti Pemimpin Berwibawa

Antara barang yang cepat Sold Out dan berebut rakyat marhaen beli Lihat Sini
amanah2
Walaupun ayat ini menggunakan redaksi umum “kepada kamu sekalian’, namun ayat ini lebih khusus ditujukan kepada para pemimpin dan penguasa seperti yang difahami oleh kebanyakan mufasirin, antaranya Muhammad bin Ka’ab al-Qurazi dan Zaid bin Aslam yang dinukilkan oleh Ibn Kathir dan Ibn a1-Jawzi.
 
Tafsir surah al-Nisa’ ayat 58
 
Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Nisa’ ayat  58, maksudnya:”Sesungguhnya Allah memerintahkan  kamu untuk menunaikan amanah kepada yang berhak  menerimanya dan (menyuruh kamu) apabila  menetapkan hukum antara manusia supaya kamu  menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya Allah  memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu dan sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha  Melihat.”
 
Pemahaman seperti ini sangat tepat kerana para pemimpinlah yang terbeban dengan amanah yang besar untuk ditunaikan sehingga mereka diminta untuk menjaga amanah dan pemerintahan tersebut dengan benar dan adil. Jika amanah dan keadilan disia-siakan, maka umat manusia akan binasa dan sesebuah negara atau tamadun akan hancur.
Dalam kenyataan yang berasingan, Rasulullah s.a.w. mengingatkan dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Apabila amanah disia-siakan, maka tunggulah kehancurannya.” Para sahabat bertanya: “Bagaimanakah bentuk mensia-siakan
itu?” Baginda bersabda lagi: “Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada orang yang tidak berkelayakan, maka tunggulah kehancurannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
 
Sehubungan itu, dalam sebuah hadis sahih, Baginda s.a.w. turut menolak permohonan Abu Zar r.a. yang ingin menjadi pemimpin disebabkan kelemahan (daif) beliau dalam menjalankan tanggungjawab Kepimpinan yang tidak dijalankan dengan sempurna akan mengakibatkan hukuman yang berat di akhirat.
 
Hanya Manusia
 
Al-Syahid Syed Qutb dalam tafsir Fi Zilal al-Qur’an turut menyimpulkan bahawa amanah yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah tanggungjawab kepimpinan. Inilah yang pernah ditawarkan kepada makhluk-makhluk yang lebih besar iaitu langit, bumi dan gunung. Ini berlaku sebelum diterima oleh manusia seperti yang difirmankan oleh Allah s.w.t. dalam surah al-Ahzab ayat 72, mafhumnya:
“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung. Namun, semuanya enggan memikul amanah tersebut dan mereka khuatir akan mengkhianatinya. Maka, manusia sanggup memikul amanat itu. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan bodoh.”
 
Secara Iogiknya, apabila amanah kepemimpinan dilakukan dengan baik, maka secara automatik akan terlaksana amanah-amanah lain yang berkait rapat dengan hak sesama manusia.
Berdasarkan kaedah: “Pengajaran daripada turunnya ayat berlaku secara berterusan tanpa dihadkan pada zaman turunnya sahaja”, maka perintah agar bersikap amanah ini sebenarnya ditujukan kepada sesiapa pun tanpa membataskan sifat dan keadaan orang tersebut.
 
Maimun bin Mahran mengatakan: “Tiga perkara yang harus ditunaikan, baik kepada orang yang soleh mahupun kepada pelaku maksiat, kepada Mukmin atau kafir iaitu amanah, janji dan silaturahim.” Ini disebabkan haknya dengan Allah yang tidak ditunaikan dan itu adalah urusannya dengan Allah s.w.t.
 
Amanah kepemimpinan menjadi keutamaan dalam ayat di atas dilihat daripada kaitan antara kalimat dalam ayatnya dengan menggunakan wau ‘ataf Allah menyebut perintah “untuk menetapkan hukum dalam kalangan manusia dengan adil” setelah perintah menunaikan amanah. Padahal memutuskan hukum dalam kalangan manusia merupakan antara tugas dan kewajipan seorang pemimpin.
 
Taat Pemimpin
 
Ditambah lagi pada ayat selanjutnya, iaitu ayat 59 surah al-Nisa’ bahawa Allah menetapkan manhaj dan nilai yang harus dipegang dalam konteks kepemimpinan, iaitu taat kepada Allah dan Rasulnya serta para pemimpin yang telah dipilih dengan benar. Allah s.w.t. menegaskan, mafhumnya “Wahai orang beriman! Taatlah kamu kepada Allah, dan taatlah kamu kepada Rasul serca pemimpin dalam kalangan kamu. Kemudian, jika kamu berbeza pendapat tentang sesuatu, maka kembalikan ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnah) jika kalian benar-benar orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.”
 
Imam al-Fakhr al-Razi memahami ayat di atas dengan melihat kaitan yang erat dengan beberapa ayat sebelumnya bahawa setelah Allah menggambarkan beberapa perwatakan orang kafir dan ancaman azab untuk mereka, Allah kembali menyebut beberapa kewajipan dan tugas orang beriman. Begitu juga setelah Allah menyebutkan pahala yang besar untuk amal soleh yang dilakukan oleh orang yang beriman, maka Allah menyebut bahawa amal soleh yang terbesar adalah dengan menunaikan amanah dan berlaku adil dalam memutuskan sesuatu perkara sesama manusia tanpa terkecuali.
 
Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. telah menafikan iman daripada orang yang tidak dapat menjaga amanah dengan baik, maksudnya: “Tidak ada agama bagi orang yang tidak dapat menjaga amanah.” (Riwayat al-Baihaqi)
 
Peri pentingnya kepemimpinan dinyatakan secara tegas oleh Sheikh al-Islam yang telah menyebut bahawa pelantikan seseorang sebagai pemimpin merupakan salah satu tugas agama yang paling besar. Bahkan agama tidak akan tertegak, begitu juga dunia tidak akan menjadi baik tanpa keberadaan pemimpin yang bersikap amanah.
 
Kesejahteraan umat manusia tidak akan wujud kecuali apabila keperluan kehidupan sosial yang sistematik dipenuhi bawah kepimpinan seseorang kerana tabiat hidup sememangnya dibangunkan atas prinsip saling memerlukan.
 
Imam al-Ghazali menegaskan dunia ini ibarat ladang akhirat. Agama tidak akan sempurna kecuali dengan dunia. Kekuasaan dan agama saling menyempurnakan antara satu sama lain kerana ia dicipta secara berpasangan. Agama ialah tiang sedangkan penguasa ialah penjaganya. Bangunan tanpa tiang akan roboh dan perkara yang tidak dijaga akan hilang. Keteraturan dan sistem ini tidak akan berjalan dengan baik kecuali dengan adanya penguasa yang jujur.
 
Kepimpinan dalam Islam
 
Dalam sejarah Islam, kita telah mempelajari isu kepemimpinan merupakan persoalan pertama mendapat perhatian para sahabat Rasulullah s.a.w. Sebaik sahaja Rasulullah wafat, urusan pertama yang dilakukan oleh para sahabat ialah memilih pemimpin bagi mengganti Rasulullah s.a.w. Bahkan mereka mendahulukan perkara ini daripada mengebumikan Rasuiullah s.a.w. Kemudian para sahabat sepakat memberikan sokongan atau baiah kepada Abu Bakar dan menyerahkan kepemimpinan kepadanya.
 
Secara prinsipnya, Islam menginginkan agar segala sesuatu diatur dengan baik. Islam menolak keserabutan dan kekacauan dalam urusan hidup. Hinggakan dalam solat pun, Rasulullah menyuruh untuk menyamakan dan meluruskan saf serta mendahulukan orang yang lebih baik ilmu dan bacaannya untuk menjadi imam. Begitu juga jika dalam perjalanan berkumpulan, Rasulullah berpesan supaya memilih seorang pemimpin dalam kalangan mereka.
 
Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidak dibenarkan tiga orang bermusafir di tengah-tengah padang pasir yang tandus, kecuali jika mereka mengangkat salah seorang antara mereka sebagai amir (pemimpin).”
 
Di sini, jelas kepada kita tentang kepemimpinan dalam Islam. Kebaikan sesebuah bangsa sangat ditentukan oleh kebaikan roda kepemimpinan yang dijalankan dalamnya. Isiam memberikan perhatian yang besar dalam persoalan kepemimpinan. Justeru tidak hairanlah apabila Ibn Khaldun, tokoh sosiologi Islam terkemuka meletakkan ukuran kebaikan sesebuah bangsa ditentukan oleh kualiti dan nilai kepemimpinannya.
Join Affiliate Shopee Percuma Klik - AFFILIATE SHOPEE
See also  Aurat Seorang Wanita
1 comment… add one
  • Rudy Link Reply

    amanah akan jadi cabaran besar kalau pemimpin dah terkena penyakit gila kuasa..tambah pulak kalau ditemani penasihat yang turut sama jahil..

Leave a Comment

Cancel reply