Fatwa : Satu Penjelasan

Fatwa agama islamFATWA DALAM ISLAM

Fatwa ialah keputusan bagi sesuatu permasalahan. Ia melibatkan hukum agama yang diberikan oleh mufti kepada mereka yang bertanya samada individu mahupun berkumpulan ke atas permasalahan yang sudah jelas punca permasalahannya atau masih kabur.

Merujuk kepada Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi ke-4, definisi fatwa ialah keputusan tentang sesuatu hukum agama (yg belum pernah diputuskan lagi) berdasarkan nas Al-Quran, hadis, dan sumber hukum lain, termasuk ijtihad oleh mufti.

Fatwa dikeluarkan oleh mufti atau mereka yang mempunyai kemahiran yang mendalam berkenaan hukum-hakam yang berkaitan agama. Hal ini demikian kerana fatwa melibatkan hukum ke atas permasalahan yang berkaitan dengan agama, maka mereka yang mempunyai kemhairan dalam hukum hakam agama sahaja yang layak memberikannya.

Realitinya di masa kini, kalimah fatwa disinonimkan dengan mufti sahaja kerana mufti menjadi satu jawatan rasmi yang diberikan kepada seseorang (yang berautoriti) untuk dipertanggungjawabkan bagi mengeluarkan fatwa.

Maksud dari firman Allah SWT :

“Mereka (orang Islam) meminta fatwa kepadamu (wahai Muhammad) mengenai masalah Kalalah. Katakanlah : Allah memberikan fatwa kepada kamu dalam perkara Kalalah tersebut iaitu jika seseorang meninggal dunia yang tidak mempunyai anak dan ia mempunyai seorang saudara perempuan, maka bagi saudara perempuan itu seperdua dari harta peninggalan” – Surah An-Nisa’ : 176

Dalam satu riwayat hadis, seorang sahabat, Abu Musa Al-Asy’ari bertanyakan kepada Nabi SAW mengenai dengan minuman yang diperbuat oleh penduduk Yaman :

أَفْتِنا فِي شرابَيْن كُنَّا نَصْنَعُهما بِاليَمَن

“Berikanlah fatwa kepada kami berkenaan 2 minuman yang kami buat di Yaman.”

Dan Abu Musa Al-‘Asyari menjelaskan hakikat minuman tersebut. Lalu baginda SAW bersabda :

كُلُّ مُسْكِر حَرام

Setiap minuman yang memabukkan adalah haram.”  – Bukhari dan Muslim

AKHLAK DALAM MENJAGA KREDIBILITI FATWA

Apabila fatwa ia berkaitan dengan hukum hakam dalam Islam, maka tidak dapat tidak mufti merupakan orang yang memegang amanah dalam memastikan fatwa yang diberikan menepati syara’. Sehubungan itu juga, dalam perihal beramanah dengan agama Islam, tidak dapat tidak peranan mufti adalah berkait rapat dengan akhlak. Hal ini demikian kerana, benteng bagi memastikan seseorang mufti tersebut tidak pecah amanah adalah bergantung kepada kekuatan akhlaknya.

Justeru, tidak dinamakan seseorang tersebut dengan ulama jika hanya mempunyai pengetahuan yang tinggi tanpa dibaluti dengan akhlak yang mulia. Mereka yang layak dipanggil ulama atau mufti adalah mereka yang menggunakan ilmu dan pengetahuan mereka agar semakin bertaqwa kepada Allah. Maka apabila mereka ingin mencapai tahap tersebut maka mereka mestilah menyalurkan pengetahuan dan ilmu tersebut mengikut salurannya antara berkata benar, tidak mengeluarkan hukum bagi kepentingan tertentu dan sebagaimana.

Inilah yang dijelaskan oleh Allah di dalam Surah Fatir :

“Sesungguhnya hanya orang yang paling takutkan Allah daripada kalangan hamba-Nya adalah daripada kalangan ulama’.” –Surah Fatir : 28

Maka akhlak ini menjadi pembeza antara ulama yang sebenar dengan ulama su’ iaitu mereka yang mempergunakan agama bagi menjaga kepentingan tertentu.

Hal ini jelas apabila sifat kaum terdahulu yang sanggup membelakangi agama demi kepentingan dunia sehingga menyembunyikan kebenaran, mereka ini dicela oleh Allah sebagaimana yang terdapat dalam Al-Quran :

Maksud firman Allah :

“Sesungguhnya orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami (Allah) turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam kitab suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.” – Surah Al-Baqarah : 159

Dan daripada akhlak seorang mufti ialah menyampaikan dengan ilmunya akan kebenaran, dan tetap berpegang kepada kebenaran tersebut walaupun dibenci dan dimarahi oleh orang-orang yang gilakan dunia dan mereka yang berjawatan. Lihat bagaimana contoh teladan yang telah ditunjukkan oleh Imam Ahmad dalam mempertahankan kebenaran mengenai Al-Quran itu kalamullah, sehingga sanggup dipenjara dan diseksa bertahun lamanya. Maka akhklah mulia yang ada dalam diri mufti tersebutlah yang menjaga kreddibiliti fatwa yang dikeluarkan olehnya.

FAKTOR-FAKTOR YANG MENJADIKAN FATWA TERSEBUT SALAH ATAU KURANG TEPAT

Dr Yusuf Al-Qardhawi menggariskan 6 faktor utama yang menjadikan sesuatu fatwa yang dikeluarkan tersebut adalah tidak tepat bahkan salah. 6 faktor tersebut ialah :

1-    Jahil ke atas sesuatu nas atau terlepas pandang nas-nas yang lain

Antara sebab terlepas pandang sesuatu nas ialah apabila mufti tersebut terlalu gopoh dalam mengeluarkan fatwanya tanpa sempat mengkaji terlebih dahulu permasalahan yang timbul. Kajian ilmiah juga merupakan displin dalam mengeluarkan sesuatu hukum. Hal ini demikian kerana fatwa yang ingin dikeluarkan mestilah membawa kepada maslahat yang umum. Justeru memerlukan kajian ke atas nas-nas yang banyak.

Bahkan juga antara kejahilan sesuatu nas ialah apabila tidak mendalami sesuatu displin rujukan dalam penghujahan iaitu dengan menjadikan “apa yang tidak dilakukan oleh Nabi SAW” sebagai satu bentuk hujah. Sedangkan perkara tersebut adalah silap sebagaimana para ulama telah bersepakat.

2-    Kesalahan dalam mentakwil

Antara jelas kesalahan dalam mentakwil ialah mendefinisikan sesuatu permasalahan yang berlaku dengan maksud yang bukan sepatutnya. Maka sudah tentu fatwa akan dikeluarkan mengikut definisi yang salah tersebut. Hasilnya, ia tidak menepati kehendak permasalahan yang sebenar. Sebagai contoh mendefinisikan demonstrasi sebagai rusuhan yang merosakkan harta benda awam, maka sudah tentu fatwa yang dikeluarkan mengharamkan demonstrasi secara mutlak kerana bagi mereka demonstrasi adalah perbuatan yang sememangnya membawa kepada kerosakan.

Sedang definisi yang sebenar ialah perhimpuan untuk tunjuk perasaan. Ia menjadi wasilah kepada sesuatu tunjuan. Dan hukumnya adalah berdasarkan tujuan dan caranya. Jika tujuannya salah dan cara pun bersalah maka sudah tentu ia diharamkan. Namun jika perhimpunan yang dilakukan dengan aman dengan tujuan sekadar protes bantahan ekoran hak-hak mereka dicabuli, sekadar ini sahaja, maka ia adalah diharuskan kerana hukum asal bagi sesuatu adalah harus sebagaimana mengikut kaedah yang telah ditetapkan.

3-    Tidak memahami sesuatu realiti yang berlaku berdasarkan hakikatnya

Sebelum mengeluarkan fatwa, maka mestilah mengetahui hakikat permasalahan yang sebenar. Kesilapan dalam mengetahui hakikat sebenar akan melencongkan fatwa yang dikeluarkan. Maka sebab itulah disebutkan bahawa hukum sesuatu adalah berlegar kepada illahnya, jika ada illahnya maka adalah hukumnya, jika tiada maka sebaliknya.

Maka, untuk mengetahui hakikat sesuatu permasalahan, maka ia mesti mengkaji dan mendapatkan sumber yang jelas daripada semua pihak yang terbabit.

4-    Menurut hawa nafsu

Tidak sepatutnya fatwa yang dikeluarkan adalah menurut hawa nafsu. Hal ini jelas bertentangan dan bercanggah dengan syara’. Fatwa merupakan jawapan kepada pemasalahan yang timbul dan berkaitan dengan agama, justeru ia mestilah mengikut ketetapan kebenaran, bukan hanya nafsu. Disebabkan itu, akhlak mulia sangat penting bagi menjaga kredibiliti fatwa daripada terikut-ikut dengan hawa nafsu.

Maksud daripada firman Allah :

Wahai Daud sesungguhnya Kami menjadikan kamu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum antara manusia dengan benar.” – Surah Shad : 26

5-    Mengikut ideologi pihak barat

Hal ini bertentangan dan bercanggah dengan syara’. Fatwa yang dikeluarkan mestilah berdasarkan Al-Quran, hadis, ijma’ dam qiyas serta rujukan-rujukan yang lain di dalam Islam. Rujukan mengikut ideologi barat pastinya akan menyelewengkan fatwa yang dikeluarkan. Disebabkan itu, konsep keadilan, kebebasan dan apa jua yang berlaku di zaman moden ini mestilah menurut kaedah di dalam Islam.

Antara contoh, walaupun ideologi barat mengatakan pembahagian harta pusaka yang diagihkan kepada anak lelali dan anak perempuan dengan kadar nisbah 2 :1 adalah tidak adil berdasarkan akal fikiran mereka, namun nilai keadilan adalah mengkiut ketetapan Islam bukan dengan ideologi barat kerana jelas dalam Al-Quran mengenai nas pembahagian kadar 2 : 1 bagi anak lelaki dan anak perempuan.

Maksud daripada firman Allah :

Patutkah mereka berkehendak kepada hukum-hakam jahiliyyah? Padahal (kepada orang yang penuh keyakinan) tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah.” – Surah Al-Maidah : 50

6-    Jumud ke atas fatwa yang lama tanpa meraikan perubahan yang berlaku

Hukum dalam konteks ijtihadiyyah ke atas furu’ dan dalil yang zhonni adalah berubah mengikut faktor-faktor yang terikat. Hal ini jelas bahawa di dalam Islam adanya kontek thawabit iaitu tidak berubah dan ia dalam konteks perkada usul. Berbeza dengan konteks furu’ maka hukum boleh berubah mengikut perubahan yang berlaku dan sewajarnya.

Dan ini perbahasan yang panjang dalam perbincangan ulama. Namun apa yang jelas ialah sekiranya, fatwa yang berkaitan dengan furu’ adalah berubah bagi meraikan maslahat umum yang semasa kerana syariat Islam adalah bersesuaian sepanjang zaman dan di mana jua tempat. Disebabkan itu, Dr Yusuf Al-Qardhawi menyebutkan bahawa konsp wasatiyyah dalam Islam ialah kita menjaga prinsip thawabit dan mutaghaiyirat (berubah-ubah), bukannya hanya berpandukan hadfiyyah semata-mata seperti Mazhab Zohiriyah dan menolak nas-nas yang jelas seperti yang dibawa oleh ideologi barat yang menolak nas-nas yang jelas kemudian mencipta sesuatu etika dengan beralasan maslahat.

KESIMPULAN

Fatwa merupakan jawapan kepada permasalahan semasa yang berlaku. Ia menunjukkan bahawa Islam menjaga maslahat manusia sepanjang zaman. Hal ini dengan menjadikan segala persoalan dan permasalahan yang berlaku adalah menurut pandangan Islam.

Mufti adalah orang yang diamanahkan dalam mengeluarkan fatwa. Maka sudah tentu ia paling layak di sisi masyarakat awam. Justeru, mufti mestilah memainkan peranan yang jelas dalam menyampaikan mesej agar masyarakat dapat memahami hukum Islam dengan  baik.

Sehubungan itu, 6 faktor utama ini mestilah dijaga dengan baik, agar fatwa yang dikeluarkan dilihat mempunyai kredibiliti yang tinggi dan ia mengaitkan dengan imej institusi yang membawa dan menjaga agama Islam sebagai konteks agama rasmi.

Ulama terdahulu tetap berpegang dengan kebenaran walaupun dikenakan pelbagai seksaan. Hasil pegangan mereka yang teguh terhadap kebenaran, manusia kini dapat merasai nikmat Islam di seluruh dunia.

Akhirnya, pihak MANHAL PMRAM melihat fatwa merupakan senjata uatama dalam menerangkan Islam itu syumul dan sesuai sepanjang zaman. Justeru, pihak yang dipertanggungjawabkan mestilah menjaga kredibiliti fatwa dan imej institusi yang menjaga urusan agama Islam.

Wallahu a’lam

Disediakan oleh :

Muhamad Zuhaili Saiman

Rujukan :

1-    Al-Fatwa Baina Al-Indibat Wa At-Tasayyub, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Maktabah Wahbah

2-    Fiqh Al-Islam Wa Adillatuh, oleh Dr Wahbah Az-Zuhaily, jilid ke-1, cetakan Dar Al-Fikri

3-    Mujibat Taghaiyur Al-Fatwa Fi ‘Asrina, oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi, cetakan Dar Al-Sharouq

Comments

1 comment… add one
  • Assalamualaikum terima kasih saudara hafiz kerna sudi berkongsikan ilmu ini.. Semoga hidup anda dirahmati amin.

Leave a Comment