Fiqh Wanita – ISTIHADHAH

Fiqh Wanita  ISTIHADHAHISTIHADHAH

  1. Definisi Menurut Bahasa dan Istilah
  2. Dalil-dalil daripada Hadis dan Ijmak Ulamak
  3. Tempoh Istihadhah
  4. Hukum-hukum Istihadhah

  1. DEFINISI MENURUT :

Bahasa

Istihadhah dibina atas wazan [استفعال], berasal daripada suku kata [حاض] yang bermaksud mengalir.

Istilah

Darah yang keluar daripada faraj wanita bukan pada waktu keluarnya darah haid atau nifas. Ia juga adalah darah yang keluar daripada faraj kanak-kanak perempuan yang belum mencapai usia baligh atau wanita yang sudah mencapai usia monopos. Sebahagian ulamak berpendapat, darah yang keluar daripada faraj kanak-kanak perempuan yang belum baligh dan wanita yang sudah monopos bukanlah darah istihadhah. Tetapi ia adalah darah fasad.

Hukumnya juga sama seperti darah istihadhah.

  1. DALIL
  1. Hadis

Riwayat daripada Saidatina Aisyah R.A berkata: Fatimah binti Abi Hubaisy telah bertanya kepada Nabi Muhammad S.A.W : “Saya perempuan yang mengalami pendarahan di faraj, jadi saya tidak suci, perlukah saya meninggalkan solat? Rasulullah S.A.W menjawab: Tidak perlu. Itu adalah darah yang keluar dari sejenis urat dan ia bukan haid. Oleh itu, apabila tiba hari haidmu, tinggalkanlah solatmu. Apabila selesai haidmu, mandilah. Kemudian tunaikanlah solat”.

[Sahih Imam Bukhari, Kitab Wuduk, Bab Membasuh Darah, Jilid 1, m/s: 91, No: 226, Dar Ibn Kathir]

  1. Ijmak Ulama

Ulamak sepakat mengatakan bahawa hukum perempuan yang beristihadhah dalam mengerjakan solat, puasa, i’tikaf, membaca dan menyentuh al-quran, sujud tilawah, sujud syukur dan ibadah-ibadah lain, sama seperti hukum perempuan yang suci daripada haid.

  1. TEMPOH ISTIHADHAH
  1. Kurang daripada tiga hari mengikut pendapat Abu Hanifah dan boleh lebih daripada tempoh Haid atau Nifas.

Riwayat Aisyah R.A menyatakan bahwa Ummu Habibah binti Jash, isteri kepada Abdur Rahman bin Auf telah mengalami Istihadhah selama tujuh tahun. Lalu beliau bertanya Rasulullah S.A.W tentangnya. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda itu bukan haid, tapi darah yang keluar dari sejenis urat. Hendaklah kamu mandi dan tunaikanlah solat.

[Sahih Muslim, kitab Haid, bab perempuan beristihadhah, Jilid 1, m/s: 263, No: 334, Dar Ihya’ at-Turath al-A’rabiy]

  1. TANDA-TANDA MENGENAL DARAH ISTIHADHAH

4.1  Melalui Tempoh Haid yang Teratur

4.1.1 Bagi perempuan yang tempoh haidnya tetap, apabila didatangi darah di luar tempoh haidnya, bererti darah itu adalah darah istihadhah walau apapun sifat darah tersebut. Tanda ini adalah tanda yang paling kuat.

4.1.2 Setengah ulama berpendapat, jika wanita itu mampu membezakan sifat darah, dia tidak perlu menggunakan cara ini sebagai tanda mengenal darah istihadhah.

4.1.3 Ada pendapat lain yang tidak menerima pakai cara ini sama sekali.

4.2  Sifat Darah

4.2.1 Darah istihadhah biasanya berwarna merah terang,lemah dan tidak berbau. Adapaun darah haid berwarna merah kehitam-hitaman, pekat, panas dan berbau.

4.2.2 Wanita yang haidnya tidak tetap, boleh menggunakan cara ini untuk mengenal darah istihadhah.

4.2.3 Jika haidnya tetap, ulama berselisih pendapat tentangnya. Sebahagian mereka menyatakan dia perlu mengikut seperti tanda di atas. Sebahagian yang lain mengatakan memadai dengan dia mengikut tanda ini, iaitu sifat darah.

4.3  Tempoh Haid Kebanyakan Wanita

4.3.1 Bagi wanita yang tidak tetap haidnya dan tidak dapat membezakan sifat darah, boleh mengenali darah istihadhah dengan merujuk tempoh haid kebanyakan wanita.

  1. HUKUM-HUKUM ISTIHADHAH

5.1 Solat, puasa, memegang mushaf dan lain-lain

5.1.1 Wanita yang mengalami Istihadhah, hukumnya adalah sama seperti wanita yang suci. Ini bermakna mereka wajib mengerjakan ibadah fardhu seperti solat, puasa, haji dan lain-lain.

5.2 Wuduk

5.2.1Ulama meletakkan beberapa garis panduan untuk berwuduk bagi wanita yang mengalami Istihadhah:

  1. Bersihkan faraj. Kemudian memakai kain lapik (tuala wanita) jika didapati darah tersebut mengalir banyak. Bagi wanita yang mempunyai darah yang sedikit, memadai dengan hanya membersihkannya tanpa memakai lapik.
  1. Selepas itu, hendaklah dia mengambil wuduk setiap kali masuknya waktu solat fardhu.

Rasulluah S.A.W bersabda ketika menjelaskan tentang perempuan yang mengalami istihadhah; “Dia (perempuan yang beristihadhah) tidak perlu mengerjakan solat selama tempoh haid. Kemudian setelah tamat tempoh, hendaklah dia mandi dan berwuduk setiap kali mengerjakan solat”.

[Sunan Tirmizi, Kitah Taharah, Bab Perempuan yang mengalami Istihadhah hanya berwuduk setiap

kali solat, jilid:1, m/s 220, no:126, Dar Ihya’ at-Turath al-A’rabiy ]

5.2.2 Menurut Mazhab Syafie, satu wuduk untuk satu solat fardhu sahaja. Tetapi wanita yang beristihadhah boleh mengerjakan lebih dari satu solat sunat dengan satu wuduk. Hal ini kerana bersuci bagi perempuan yang beristihadhah dianggap sebagai darurat. Oleh itu, ia hanya diperlukan ketika perlu sahaja iaitu satu wuduk bagi satu solat fardhu.

5.2.3 Setengah ulama tidak mewajibkan perempuan yang beristihadhah mengambil wuduk setiap kali masuk waktu solat fardhu. Memadai dengan wuduk yang pertama selagi tidak berhadas. Ini adalah pendapat Imam Malik. Hal ini kerana istihadhah menurut mereka membatalkan wuduk. Setengah mereka hanya mewajibkan wuduk sekali pada setiap waktu.

5.2.4 Sebahagian mereka berpendapat, wuduk itu wajib diperbaharui setiap kali masuk waktu solat fardhu. Tetapi perempuan yang beristihadhah boleh mengerjakan lebih daripada satu solat fardhu dengan satu wuduk. Ini adalah pendapat Imam Abu Hanifah.

5.3 Mandi

5.3.1 Kebanyakan ulama berpendapat, sunat bagi perempuan yang beristihadhah mandi setiap kali masuk waktu solat. Hal ini kerana pada asalnya dia hanya diwajibkan mandi apabila darah haidnya kering. Mewajibkan mandi dengan sebab istihadhah memerlukan dalil yang mewajibkannya. Memandangkan tiada dalil yang jelas menunjukkan ia wajib, maka ia kekal sebagai sunat.

5.4 Persetubuhan

5.4.1 Kebanyakan ulama berpendapat, wanita beristihadhah harus disetubuhi oleh suaminya. Hal ini kerana wanita tersebut wajib mendirikan solat, puasa dan ibadah- ibadah lain. Sedangkan kesemua ibadah tersebut disyaratkan mesti suci daripada haid. Jadi, dia juga boleh disetubuhi. Pendapat inilah yang dipilih oleh Imam Nawawi.

5.4.2 Sebahagian mereka melarang suami daripada menyetubuhi isteri yang beristihadhah sehingga darah berhenti dan kering.

5.4.3 Sebahgian yang lain menganggap persetubuhan dalam tempoh istihadhah sebagai makruh.

5.4.4 Sebahagian lain berpendapat, harus bahkan wajib bagi suami menyetubuhi isterinya yang beristihadhah jika dia bimbang akan melakukan dosa jika tidak bersetubuh dengan isterinya.

5.4.5 Sebahagian lain mengharuskan suami bersetubuh dengan isteri yang beristihadhah jika panjang tempoh istihadhah tersebut. Adapun jika tempohnya singkat, dia tidak dibenarkan atau tidak digalakkan bersetubuh dengannya.

Wallahu A’lam

Disediakan oleh :

Rabiatul Adawiyah Samsudin

 _____________________________________________________________________

RUJUKAN

  1. Al-Azhari, Tahzib al-Luhgah, Dar Turath al- A’rabiy
  2. Imam an-Nawawi, Sahih Muslim Syarah Imam Nawawi, Dar Turath al- A’rabiy
  3. Imam an-Nawawi, Raudhah at-Tolibin, al-Maktab al-Islamiy
  4. Imam an-Nawawi, al-Majmuk, Dar al-Fikr
  5. Abdu an-Nabiy, Dustur al-Ulamak, Dar al-Kutub al-Ilmiah.
  6. Imam Ibn Taimiyah, Majmuk al-Fatawa, Maktabah Ibn Taimiyah
bunting-murah

Comments

0 comments… add one

Leave a Comment