Kelebihan Memiliki Anak Perempuan

KELEBIHAN MEMILIKI ANAK PEREMPUAN

Masih ingat lagi tentang masyarakat Jahiliyah yang kita belajar satu ketika dahulu? Dalam masyarakat Jahiliyah, memperoleh anak perempuan merupakan satu musibah kepada keluarga tersebut.

Apa tidaknya, pada waktu itu anak perempuan dianggap hanya mendatangkan sial dan memalukan keluarga.

Lantaran itu, ramai ibu bapa yang merasa terhina dengan anugerah ini, bahkan sehingga ada yang sanggup membunuh dan menanam hidup-hidup demi menjaga maruah keluarga

Malangnya, pemikiran orang-orang zaman sekarang pun masih sama seperti mereka di zaman Jahiliyah dahulu.

Pernah saya mendengar perbualan seorang bapa bertanyakan jantina bayi yang baru dilahirkan oleh isterinya di wad bersalin.

Setelah dimaklumkan nurse bertugas yang si bapa dikurniakan bayi perempuan, saya terdengar nada suaranya sedikit mengeluh, “Oh.. perempuan lagi…” Saya yang mendengar, sedikit terkilan, seolah-olah si bapa kecewa dengan anugerah Allah SWT.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud :

“Sesiapa yang memiliki tiga anak perempuan,lalu dia bersabar dengan kerenah,kesusahan dan kesenangan mereka,nescaya Allah s.w.t akan memasukkannya ke dalam syurga dengan kelebihan rahmat-NYA untuk mereka.”

Seorang lelaki bertanya,
“Juga untuk dua anak perempuan wahai Rasulullah?”

Sabda baginda,
“Juga untuk dua anak perempuan.”

Seorang lelaki berkata,
“atau untuk seorang wahai Rasulullah?”

Rasulullah s.a.w menjawab,
“Juga untuk seorang.”

(Hadis Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)

Namun, riwayat ini diperluaskan juga kepada seseorang yang memelihara saudara perempuan.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

“Tidak ada bagi sesiapa tiga orang anak perempuan ataupun tiga orang saudara perempuan,lalu dia berbuat baik kepada mereka,melainkan Allah Taala akan memasukkan mereka ke syurga.”

(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Daripada Aisyah r.a.,dari Rasulullah s.a.w baginda telah bersabda yang maksudnya :

“Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan,
lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik,nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka.”

(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)

Sesungguhnya perempuan atau wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa.Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan mereka.

Daripada hadis-hadis di atas,
dapat kita pelajari bahawa kedua ibu bapa wajib memberi perhatian terhadap anak-anak perempuan lantaran anak-anak perempuan merupakan aset penting yang menentukan sama ada ibu bapa mereka layak memasuki syurga atau terhumban ke dalam neraka disebabkan oleh mereka.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda dalam hadis baginda yang bermaksud :

“Takutlah kamu kepada Allah s.w.t dalam perkara-perkara yang berhubung dengan kaum wanita.”

Ini bermaksud bahawa setiap ibu bapa dan yang bergelar suami hendaklah sentiasa mengawasi anak-anak perempuan mereka dan juga isteri mereka agar sentiasa berpegang teguh dengan agama dan mematuhi perintah Allah s.w.t.

Pernahkah anda mendengar, kata orang tua,?

menjaga lembu sekandang adalah lebih mudah daripada menjaga seorang anak perempuan?

Kemungkinan ini ada benarnya apakala kita melihat ramai ibu bapa yang menjaga anak-anak mereka dengan hanya memberi tempat tinggal, makan dan minum semata-mata seperti menjaga dan memelihara binatang ternakan yang hanya bertujuan menggemukkan sahaja.

Sedangkan pendidikan agama tidak diberi penekanan yang sepatutnya.

Contohnya dalam perkara aurat dan pergaulan hingga akhirnya ramai perempuan atau wanita yang menjadi bahan fitnah dan terdedah dengan berbagai keburukan yang mencemarkan nama baik keluarga dan agama.

Sesungguhnya anak-anak yang diajar dengan didikan agama yang baik akan memberi faedah kepada ibubapanya semasa hidup dan selepas mati bahkan secara logiknya tiada ibubapa yang inginkan anak-anak mereka menjadi beban dan membawa kecelakaan kepada mereka di dunia apalagi di akhirat kelak.

Alangkah beruntungnya ibu bapa yang mempunyai anak perempuan, lalu mereka mendidik dengan penuh kesabaran dan kasih sayang.

Mendidik anak perempuan sememangnya mencabar,
tetapi cabaran yang besar itu jika dilakukan dengan kesungguhan serta tabah menghadapi kerenah mereka,
Allah Taala dan Rasul-Nya telah menjanjikan balasan yang amat besar.

Berbanggalah anda jika anda mempunyai anak perempuan kerana dengan didikkan sempurna boleh memasukan anda kedalam syurga Allah S.W.A.

Wallahu A’lam…

Dunia Maklumat

1 comment… add one

Leave a Comment