Kemulian Dan Makam Imam Syafie

Pada suatu hari, Imam Syafi’e Rahimahullah menziarahi Imam Ahmad bin Hanbal. Apabila selesai makan malam bersama, Imam Syafi’e telah masuk ke bilik tidur yang disediakan untuknya dan segera berbaring sehingga fajar.

Anak perempuan Imam Ahmad yang sentiasa memerhatikan Imam Syafi’e sejak dari awal lagi bertanya kepada ayahnya dengan cara menegur, “Ayah selalu memuji dan mengatakan Imam Syafi’e itu seorang ulama’ yang sangat alim. Sebaliknya apa yang aku perhatikan banyak perkara yang tidak menggambarkan ianya seorang yang benar-benar alim.”

Imam Ahmad sangat terkejut mendengarnya lalu ia bertanya, “Ia seorang alim wahai anakku. Mengapa kamu berkata demikian?” Anak perempuannya menjawab, “Aku perhatikan ada tiga perkara menyebabkan kekurangannya wahai ayah. Pertama, waktu dihidangkan makanan, ia memakannya dengan lahap sekali. Kedua, sejak masuk ke bilik tidurnya, ia tidak solat malam, sebaliknya hanya keluar setelah masuk waktu Subuh. Ketiga, ia solat Subuh tanpa berwudhuk.”

Imam Ahmad bin Hanbal memikirkan semua perkataan anaknya itu dan akhirnya supaya jelas persoalan tadi, ia bertanya sendiri kepada Imam Syafi’e. Bila mendengar semua itu, Imam Syafi’e tersenyum lalu berkata, “Wahai Ahmad! Sebabnya aku makan dengan lahap dan banyaknya di rumah kamu kerana aku tahu bahawa makanan di rumah kamu jelas halal dan baik. Aku tidak sedikitpun ragu dengan makanan itu.

Lagipun aku amat memahami engkau seorang yang sangat pemurah. Makanan orang yang pemurah itu ubat dan makanan orang yang kedekut itu penyakit. Aku makan semalam bukan sekadar untuk kenyang tetapi semata-mata untuk berubat dengan makananmu itu.

Perkara kedua yang menyebabkan aku tidak solat malam kerana ketika aku meletakkan kepalaku di atas bantal, tiba-tiba seolah-olah aku melihat di hadapanku Kitabullah dan sunnah Rasulullah SAW dan dengan izin Allah malam itu, aku dapat menyusun 72 masalah feqah Islam sehingga aku tidak sempat untuk solat malam. Perkara ketiga yang menyebabkan aku tidak berwudhuk ketika solat Subuh ialah kerana aku…. Wallahi… kerana pada malam itu mataku tidak dapat tidur sekelip pun, sehinggalah aku bersolat Subuh dengan wudhuk solat Isyak.”

– Mohd Alawie

Comments

0 comments… add one

Leave a Comment