Kopi oh Kopi

Khasiat KopiApabila ketandusan idea, penulis akan duduk dihadapan skrin netbook dan meneguk secawan kopi kosong.Kopi adalah antara minuman kegemaran penulis, tidak kisah sama ada untuk mengekalkan diri agar terjaga atau sekadar ingin sesuatu untuk dirasa selain air kosong biasa. Walaupun begitu, penulis bukanlah pakar kopi, dan tidak tahu membezakan kopi yang sedap dengan kopi yang pahit atau terbakar.

Perisa Kopi Bergantung Kepada Jumlah Campuran

Amat mudah untuk meminta , “Kopi satu!”. Tetapi bagaimana jika anda berada di sebuah kedai kopi antarabangsa? Pasti anda akan keliru akan perbezaan dan kepelbagaian pilihan perisa kopi. Jika tidak, tahniah, anda lebih hebat daripada penulis.

Penulis teringat akan pertama kali menapak di Starbucks ( kali pertama dan terakhir setakat ini). Apabila sampai di kaunter, penulis menjadi gementar sebab keliru akan pilihan yang berbeza-beza. Jika diminta yang biasa diminum, kopi sahaja, apalah gunanya pergi ke situ, ya tak? Namun begitu, risau juga jika pilihan lain itu tidak menepati cita rasa.

Pertama sekali, asas hampir setiap kopi di kedai kopi berjenama adalah Expresso. Ia bukanlah sejenis biji kopi ( itu adalah seperti Arabika atau Robusta), tetapi cara penyediaan kopi.

Expresso adalah apabila air panas yang melalui tekanan tinggi ( melalui mesin, bukan tekanan hidup) dipancutkan melalui serbuk kopi yang telah dikisar halus. Ini bersesuaian dengan maksud Itali bagi perkataan Expresso, iaitu sesuatu yang dikeluarkan secara paksa atau melalui tekanan. Ia antara yang paling pahit dan pekat. Boleh dikatakan sesiapa yang memerlukan ‘sepakan kafein’ akan meminta Expresso. Hendak lebih kuat lagi, mintalah Double Expresso.

Adalah penting bahan-bahan dimasukkan mengikut turutan kerana ia mempunyai nilai estetika dan nikmat rasa yang berbeza ( kata rakan penulis yang kerap meminum di Starbucks).

Americano adalah campuran satu bahagian Expresso dan 3 bahagian air kosong.

Breve adalah campuran satu bahagian Expresso, dua bahagian susu separuh-separuh ( Half and Half), dan satu bahagian bebuih (foam).

Caffe Latte pula adalah satu bahagian Expresso, dua bahagian susu, dan satu bahagian bebuih.

Cappuccino( dua P, tiga C) adalah satu bahagian Expresso, satu bahagian susu, dan dua bahagian bebuih.

Akhir sekali adalah Mocha. Minuman ini sesuai bagi mereka yang sukakan manis dan kurang gemar akan kepahitan kopi. Mocha dihasilkan dengan satu bahagian Expresso,satu bahagian sirap coklat, satu bahagian susu, dan penghujungnya satu bahagian krim putar. Ini adalah beza minuman Mocha berbanding yang lain, dimana para peminum mendapat rasa coklat dan krim putar, sesuatu yang jarang ada – atau boleh dikatakan tiada langsung – pada minuman-minuman lain yang tersenarai di atas.
Diatas adalah jenis-jenis kopi utama dan sering dijumpai. Sebenarnya banyak lagi jenis tetapi penulis sukar temui cara penyediaan. Antara lain yang penulis pernah dengar adalah: Soy, Non-fat, decaf, half-decaf, green coffee bean.

Masa Untuk Minum Kopi

Kita fikirkan bahawa kopi boleh diminum bila-bila masa. Ya, tiada larangan atau amaran keras untuk masa-masa meminum kopi, tetapi ada waktu-waktu tertentu yang memberi kesan terhadap keberkesanan kopi itu sendiri.

Elakkan meminum kopi pada pukul 8:00 atau 9:00 pagi. Hal ini kerana pada masa itu tubuh sedang menghasilkan kortisol – sejenis hormon yang meningkatkan kepekaan dan keupayaan diri untuk berjaga – yang bertindak sebagai kafein semula jadi dalam badan sendiri. Meminum kopi pada masa itu akan mengurangkan hasil kesan kafein kopi tersebut, bukannya bertambah cergas dengan meminumnya.

Malahan, sekiranya anda sering mengamalkan meminum kopi sewaktu penubuhan kortisol badan, tubuh anda akan membina satu toleransi terhadap kopi pada kuantiti yang biasa anda ambil, justeru menyebabkan kepekaan dan kesan kafein kopi berkurang dalam jangka masa panjang. Ini akan menyebabkan sama ada kopi tidak lagi membantu anda menjadi peka, atau anda harus meningkatkan lagi pengambilan kopi.

Oleh itu, untuk mengekalkan keberkesanan kopi, bolehlah anda mengikut jadual paras kortisol. Paras kortisol adalah tinggi dalam lingkungan 8:00 pagi hingga 9:00 pagi, 12:30 tengahari hingga 1 petang, dan 5:30 petang hingga 6:30 petang.

Waktu-waktu optimum meminum kopi adalah 9:30 pagi hingga 11:30 pagi dan 1:30 petang hingga 5:00 petang.

Bersederhana dalam Meminum Kopi

Kopi adalah antara minuman yang paling digemari di serata dunia. Boleh dikatakan ada yang ketagih dalam meminumnya. Namun begitu, haruslah berpada-pada dalam meminum kopi.

Seelok-eloknya minum maksima 5 cawan kopi sehari. Ada fakta mengatakan Voltaire meminum sebanyak 50 cawan sehari. Janganlah anda mengikuti tabiat ini.

Terlalu banyak kafein boleh memberi impak pada tubuh. Seorang gadis berumur 17 tahun di England pernah dimasukkan ke hospital kerana mengambil tujuh cawan Double Expresso. Dia mengalami suhu badan meningkat mendadak, degupan jantung semakin kencang (palpitation) dan dan perubahan mood yang tidak menentu (mood swings).

Oleh itu, sekiranya kopi adalah ‘minyak’ penggerak hari anda, cuba kurangkan kepada 5 cawan sahaja sehari, dan mula mengamalkan meminum air kosong sebagai pengganti apabila rasa kehausan. Seperti penagihan yang lain-lain, ia mungkin sukar pada awalnya, namun jika anda berjaya melepasi untuk satu bulan, anda boleh mengawalnya.
Jadi…nak secawan kopi?

 Anda suka kopi ? – Kopi Pak Belalang Murah

bunting-murah

Comments

0 comments… add one

Leave a Comment