Mengamalkan Zikir Pendek atau Panjang?

Antara barang yang cepat Sold Out dan berebut rakyat marhaen beli Lihat Sini
Zikir-Fatimah
“Ina, cuba terjermahkan makna zikir ini. Mak tak tahu bahasa Arab,” kata seorang ibu tua yang memasuki usia 7O tahun.
 
“Mana mak dapat zikir ini? Ina pun tak pandai”
 
“Ada kawan mak bagi. Dia selalu amalkannya. Katanya, supaya murah rezeki, rukun rumah tangga, anak-anak mendengar kata dan macam-macam lagi.”
 
Zikir itu ditulis sepanjang satu halaman kertas bersaiz A4, berlamina supaya terpelihara dan tidak mudah koyak. Nenek kagum dengan semangat ibu tua tadi. Nenek percaya masih ramai lagi orang di luar sana masih mencari-cari zikir yang terbaik dan paling berkesan sebagai amalan untuk diri sendiri. Walhal terdapat banyak buku tentang doa dan zikir di rumah, tetapi hati masih lagi ghairah mencari zikir-zikir lain.
 
Cucu -cucuku yang dikasihi Allah s. w. t.,
 
Amalan berzikir memang dituntut sebagaimana firman Allah s.w.t., mafhumnya: “Maka ingatlah kepadaku supaya Aku pula ingat kepadamu.” (Surah al-Baqarah 2: 152)
 
Jika mempunyai kepandaian membaca tulisan Arab dan ingatan masih kuat, bolehlah membaca pelbagai zikir yang digemari. Tidak mengapa membaca zikir-zikir yang panjang kerana usia muda perlu dimanfaatkan. Pada usia ini, mata masih terang dan keupayaan membaca lebih kuat. Jika mahu, kita boleh menghafal zikir-zikir atau doa yang panjang. Setiap kali selepas solat misalnya solat Maghrib atau Isyak, duduklah lama sedikit untuk membaca zikir-zikir al-Ma’thurat (doa atau zikir yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w.), membaca bacaan manzil dan sebagainya.
 
Jika dibaca berulang kali selepas setiap solat, insyaAllah kita akan dapat membacanya tanpa perlu melihat teks Iagi. Jangan menunggu masa lapang, sebaliknya carilah masa sebelum datang kesibukan. Bagi mereka yang tidak tahu membaca tulisan Arab atau ragu-ragu jika salah membaca, mintalah tunjuk ajar daripada orang yang lebih mengetahui. Maklumlah apabila usia melebihi 60 tahun, mata pula kurang nampak atau ingatan tidak kuat.
 
Pernah seorang wanita meminta daripada nenek tentang doa-doa yang bagus bagi menyelesaikan masalah dalam keluarganya. Wanita ini tidak tahu membaca tulisan Arab, tetapi hendak bertanya kepada orang lain katanya malu. Nenek mencadangkan kepadanya: “Jika tidak pandai doa dalam bahasa Arab, boleh sahaja dalam bahasa Melayu. Bukankah semua doa-doa mengharapkan kebaikan. Asalkan ketika berdoa, mintalah dengan ikhlas dan penuh mengharap daripada Allah s.w.t., Dia pasti mendengarnya.”
 
Ketahuilah cucu-cucuku sekalian,
 
Selepas solat, ramai yang mengabaikan zikir yang pernah Rasulullah s.a.w. ajarkan kepada Sayidatina Fatimah r.ha. Beliau pernah menceritakan kesusahannya kepada ayahandanya. Beliau terpaksa berulang-alik mengambil air dari tempat yang agak jauh, mengisar gandum, serta menguruskan rumah dan anak-anak. Jika boleh, beliau ingin mendapatkan seorang pembantu daripada kalangan tawanan perang.
 
Rasulullah s.a.w. mengetahui kesulitan puterinya itu, lalu Baginda bersabda yang bermaksud: “Wahai anakku Fatimah, inginkah ayah berikan kamu sesuatu yang lebih baik daripada itu? Bacalah tasbih (Subhanallah) sebanyak 33 kali, tahmid (Alhamdulillah) 33 kali dan takbir (Allahu Akbar) 34 kali.”
 
Sayidatina Fatimah terus mengamalkan zikir tersebut. Keesokan harinya, beliau berjumpa Rasulullah s.a.w. untuk memberitahu bahawa beliau tidak memerlukan lagi pembantu rumah. Beliau merasakan dirinya terlepas daripada bebanan setelah mengamalkan zikir tersebut.
 
Pernahkah zikir seumpama ini ditawarkan kepada anak-anak atau sahabat-sahabat jika mereka menghadapi masalah dalam hidup? Pernahkah kita mengamalkannya selepas solat? Namun perkara yang sering berlaku, ramai yang terus bangun apabila selesai solat; zikir tidak, berdoa pun tidak. Tingkah laku sebegini melambangkan kesombongan kita terhadap Allah s.w.t. Kita berasa seolah-olah diri telah mencukupi dan tidak memerlukan bantuan daripada Allah s.w.t. Kita lebih suka mengejar urusan duniawi daripada duduk berzikir seketika.
 
Pilihlah zikir tertentu dan amalkan dengan bersungguh-sungguh. Beristiqamahlah untuk mengamalkannya (secara berterusan). Ini lebih baik daripada bersemangat mengamalkan pelbagai zikir, tetapi meninggalkannya akibat jemu atau tidak sabar. Ingatlah, berzikir akan mententeramkan hati dan mencukupkan kita daripada kekurangan. Dengan bezikir, Allah s.w.t. memberikan kesabaran dan mengurniakan keikhlasan dalam jiwa kita untuk bersedia menghadapi pelbagai ujian dalam kehidupan.
Join Affiliate Shopee Percuma Klik - AFFILIATE SHOPEE
See also  Zikir Berjemaah Adakah Sunnah ?
0 comments… add one

Leave a Comment