Semudah Ikhlas dan Sabar

Favim.com-11567

 Beliau seorang yang lemah lembut ketika berkata-kata. Bahkan, jika beliau berkata-kata sekalipun suaranya seperti berbisik. Beliau juga sering tersenyum dan gemar bertegur sapa dengan rakan sekerja.
 
Tidak terkira jumlah pelita yang mati kerana ditiup angin.Itulah sebuah perumpamaan bagi banyaknya amalan yang rosak kerana sikap kita sendiri. Amal kebaikan yang kita lakukan boleh rosak kerana ketidakikhlasan dalam melakukannya.
 
Alkisah, beliau merupakan seorang lelaki yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak yang sedang meningkat dewasa. Perjalanan hidup beliau sangat sederhana. Beliau bekerja di sebuah syarikat automobil sebagai seorang jurujual. Setiap hari, beliau melayan pelanggan yang datang ke bilik pameran dengan sabar walaupun pelanggannya terdiri daripada pelbagai jenis ragam manusia.
 
Sebutlah namanya sebagai Usman. Encik Usman telah bergiat dalam bidang automobil selama hampir 10 tahun. Kecintaan beliau pada kereta membuatkan beliau sanggup bertahan dalam pekerjaannya walaupun sering kali berhadapan dengan pelbagai ujian.
 
Pada suatu hari, Allah menguji Encik Usman dengan kematian isterinya yang tercinta. Pemergian isterinya sedikit sebanyak memberi tamparan hebat kepada Encik Usman sehingga beliau terpaksa berhenti kerja. Selama setahun Encik Usman larut dalam kesedihan, namun akhirnya Encik Usman sedar bahawa dia perlu bangkit daripada kesedihan dan bekerja seperti biasa untuk menyara kehidupan anak-anaknya yang masih kecil.
 
Encik Usman melamar pekerjaan di salah sebuah syarikat automobil yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur dan lamarannya diterima. Namun, nasib tidak menyebelahinya pada kali ini. Bos di tempat kerjanya sekarang merupakan majikan yang garang dan agresif. Pantang pekerja lambat atau salah, habis dimarahinya.Encik Usman hanya menggeleng-gelengkan kepala jika mendengar bosnya berteriak memarahi pekerja lain. Hampir semua pekerjanya mengeluh kerana bekerja di bawah tekanan.
 
Akhirnya, pekerja datang dan pergi silih berganti di syarikat tersebut. Namun, sikap bosnya tetap sama dan tidak berubah. Encik Usman memilih untuk bersabar dan ikhlas dalam bekerja. Baginya, hanya orang yang bersabar sahaja akan berjaya bertahan dalam kehidupan yang mencabar ini. Cabaran dan ujian ada di mana-mana. Tiada suatu perkara pun yang dilakukan tanpa risiko dan masalah.
 
Pengalaman kehilangan isteri yang dicintai dan membesarkan anak-anak sendirian membuatkan Encik Usman mempelajari pahit dan manis kehidupan.
Beliau tidak bersetuju apabila melihat rakan pekerjanya yang tidak sabar dan mengeluh dalam pekerjaan. Jika pekerjaan akan menjadi mudah. Apabila bersabar, semua perkara akan menjadi indah.
 
Manusia dan Sifatnya
 
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya, Allah Taala tidak memandang bentuk tubuhmu, kedudukan mahupun harta kekayaanmu. Tetapi, Allah memandang hatimu. Sesiapa yang memiliki hati yang soleh, maka Allah mencintainya. Anak Adam yang paling dicintai Allah ialah orang yang paling bertakwa.” (Riwayat Muslim dan al-Tabarani)
Sering kali kita menilai luaran diri manusia. Manusia yang berpenampilan hebat sering mendapat pujian dan tempat, sedangkan manusia yang berpenampilan biasa-biasa sering diketepikan. Hakikatnya, Allah s.w.t. jualah yang mengetahui isi hati setiap manusia. Bahkan hadis di atas memberitahu kita semua bahawa manusia yang berhati baik akan memperoleh cinta Allah s.w.t. Allah tidak melihat kehebatan luaran seseorang, namun Allah melihat “kehebatan” hati yang berusaha untuk sabar, ikhlas, qanaah, setia dan reda kepadanya.
 
Berdasarkan kisah di atas, cuba kita tanya kepada diri; dari mana timbulnya rasa ikhlas dan sabar dalam diri seorang Muslim? Tanpa ber?kir panjang, kita pasti menjawab bahawa rasa ikhlas dan sabar itu datangnya dari hati. Hati yang bersih dapat membantu seseorang untuk mengenal Tuhannya. Imam al-Ghazali menekankan peranan hati dalam kehidupan manusia. Jika hati seseorang itu bersih, maka ia dapat meninggikan martabat seseorang. Namun jika hati seseorang itu kotor, maka ia hanya merendahkan martabatnya.
 
Terdapat kata-kata Imam al-Ghazali yang sangat bagus berkenaan hati: “Apa-apa yang lahir dari lidah akan sampai ke telinga, dan apa-apa yang lahir dari hati akan sampai ke hati.” Oleh sebab itu, setiap kali kita melakukan ibadah, perkara pertama yang disarankan adalah berniat kerana niat dari hati mampu melahirkan perbuatan yang ikhlas.
 
Berterbangan Ibarat Debu
 
Dalam surah al-Isra’ ayat 36, Allah s.w.t. ber?rman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mengikut sesuatu yang tidak kamu ketahui. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati nurani, semua itu akan diminta bertanggungjawab.”
Di sini, Allah s.w.t. memberi peringatan kepada manusia untuk menjaga hati agar tunduk dan patuh kepada syariatnya, maksudnya: “Demikian (perintah Allah). Sesiapa yang mengagungkan syiar-syiar Allah maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya hal itu timbul daripada ketakwaan hati.” (Surah al-Hajj’ 22:32)
 
Mukmin yang baik ialah mereka yang berhati-hati dalam menjalani kehidupan di dunia agar mendapatkan kebahagiaan di akhirat. Mereka menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan dan mempelajarinya dari alam yang terbentang luas.
 
Melalui hati yang mentaati syariat, maka akan lahir akhlak mahmudah. Kita tidak akan dapat melahirkan sifat sabar dan ikhlas jika hanya memandang sepi terhadap ayat-ayat Allah. Bahkan, tidak terkira jumlah pelita yang mati kerana ditiup angin. Itulah sebuah perumpamaan bagi banyaknya amalan yang rosak kerana sikap kita sendiri. Amal kebaikan yang kita lakukan boleh rosak kerana ketidakikhlasan kita dalam melakukannya. Setiap pekerjaan, amalan dan perbuatan menjadi tidak bermakna jika kita tidak meniatkannya kerana Allah. Amalan yang dilakukan kerana selain Allah tidak ubah seperti debu-debu yang berterbangan yang akan hilang ditiup angin.
 
Inti bagi setiap amalan adalah perasaan ikhlas kerana Allah. Apabila kita melakukan sebuah amalan kecil dengan ikhlas seperti senyum atau berkata-kata dengan perkataan yang baik, maka amalan kecil itu akan lebih berharga daripada seluruh intan dan permata di dunia.
 
Bagaimana pula jika sebuah amalan besar namun kita berniat agar kelak kita terkenal atau kaya-raya? Amalan besar itu tidak ubah seperti debu-debu yang berterbangan dan menjadi sesuatu yang sia-sia.
 
Bahkan, iblis tidak sanggup menyesatkan hamba-hambanya yang mukhlis. Ini terbukti dalam ?rman Allah s.w.t. yang bermaksud: “IbIis berkata: ‘Ya Tuhanku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan (kejahatan) terasa indah bagi mereka di bumi, dan aku akan menyesatkan mereka semua. Kecuali hamba-hambamu yang ikhlas daripada kalangan mereka. Allah ber?rman: ‘Inilah jalan lurus yang Aku tetap memeliharanya (Surah al-Hijr 15: 39-41)
 
Sesungguhnya, aura positif daripada sikap ikhlas boleh menjaga seseorang daripada pelbagai masalah kerana Allah s.w.t. akan menjaga hamba-hambanya yang ikhlas.
 
Terus-Menerus Ikhlas dan Bersabar
 
Sepertimana yang dialami oleh Encik Usman, keikhlasan beliau telah menyelesaikan masalah yang melanda. Saat rakan sekerjanya merasakan tekanan, beliau boleh bekerja seperti biasa kerana ikhlas dan sabar.
 
Daripada Ibn Umar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Orang Mukmin yang bergaul dengan manusia dan bersabar dengan gangguan mereka lebih baik daripada yang tidak bergaul dengan mereka dan tidak sabar dengan gangguan mereka.” (Riwayat Ibn Majah)
 
Sabar tidak dapat dipupuk dalam masa sehari. Begitu juga dengan ikhlas. Kedua-duanya memakan masa yang lama dengan syarat utamanya; istiqamah. Kita boleh mengambil pelajaran dan ‘ibrah daripada kesabaran dan keikhlasan Baginda s.a.w. sewaktu menghadapi dugaan dan cabaran kaum kafir Quraisy. Pelbagai kejahatan dan kekejaman yang dilakukan untuk menghapuskan Rasulullah dan menghalang Baginda menyampaikan risalah tauhid.
 
Berkat kesabaran dan keteguhan hati Baginda, semuanya terbayar dengan penaklukan kota Makkah dan tersebamya Islam ke seantero dunia. Hasil ikhlas dan sabar Baginda juga kita dapat mengecap nikmat iman dan Islam kini.
 
Lihat pula bagaimana akhlak sahabat pada zaman Rasulullah. Kerana keikhlasan para tentera Mukmin dalam peperangan Badar, maka Allah s.w.t. menurunkan para malaikatnya untuk membantu tentera Islam menghadapi tentera ka?r yang jumlahnya tiga kali ganda daripada jumlah mereka. Keikhlasan dan kesabaran telah melahirkan sikap pasrah dan reda kepada ketentuan Allah. Pasrah yang bukan bererti menyerah dengan musuh, tetapi pasrah dengan penuh keyakinan kepada Allah.
 
Marilah kita bersangka baik dengan Allah. Biar perlahan, tetapi kita pasti akan berjaya menjadi hambanya yang sentiasa ikhlas dan sabar. Hanya mereka yang ikhlas dan sabar sahaja yang dikumiakan kejayaan, insyaAllah!
bunting-murah

Comments

1 comment… add one
  • Amir

    betul..nak berdepan kerenah manusia ni hati memang kena kental 🙂

Leave a Comment

Cancel