Tidak Mengungkit Dosa Lampau

Tidak Mengungkit Dosa Lampau

Setiap manusia selain nabi dan rasul tidak terjamin selamat daripada membuat dosa, maksiat dan kesalahan. Malah, mereka terdedah kepada dosa setiap hari. Buktinya pada kenyataan hadis daripada Anas bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya ”Semua anak Adam berdosa, maka sebaik-baik orang yang berdosa ialah orang yang bertaubat.”(Riwayat Ahmad)
 
Contohnya, di dalam rumah sendiri suami ada melakukan kesalahan terhadap isteri dan sebaliknya. Sebaik sahaja melangkah keluar dari rumah menuju ke tempat kerja pula, mata melihat aib orang lain dan secara spontan pula lidah menuturkan kata-kata nista terhadap orang tersebut. Benar, manusia sering mencetuskan dosa. Begitu juga yang berlaku apabila kita memaki hamun dan marah-marah di atas jalan raya. Sementara di pejabat, umpat dan fitnah boleh berlaku dengan mudah lebih-lebih lagi pada waktu rehat.
 
Walaupun sesetengah dosa itu termasuk dalam kategori dosa kecil, kita tidak boleh mengambil sikap “tidak kisah” kerana sikap menganggap dosa kecil sebagai perkara kecil akan menjadikannya dosa besar pula. Begitu juga dengan perkara makruh, jika dilakukan secara berterusan boleh menjadi haram dan berdosa. Menyedari hal ini, itulah keperluan bertaubat.
 
Dosa yang Diabaikan
 
Dosa yang kita lakukan sama ada terhadap Allah mahupun manusia selalu dibiarkan begitu sahaja tanpa rasa berdosa dan hendak bertaubat. Manusia kadang-kadang menangguhkan waktu untuk bertaubat kerana usia masih muda dan begitu juga halnya memilih masa untuk memohon maaf sesama manusia contohnya pada hari raya.
 
Allah Yang Maha Pemurah dan Penyayang tidak mahu hambaNya terus melakukan dosa. Oleh sebab itu, Allah menawarkan pengampunan dan bersedia menerima taubat hambaNya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Sesungguhnya, Allah suka kepada orang yang bertaubat.” (Surah al-Baqarah 2: 222)
 
Namun, beuapa ramai orang yang melakukan dosa pada hari ini sanggup bertaubat dengan segera. Dalam penelitian saya, ramai yang melakukan dosa tanpa henti seolah-olah mereka tidak tahu semua itu adalah dosa.
 
Sikap Orang Mukmin
 
Orang Mukmin yang terbaik seperti yang digambarkan Rasulullah dalam hadis di atas, ialah setiap kali melakukan dosa terus bertaubat daripada dosa tersebut. Selaras dengan firman Allah sebagaimana yang telah dinyatakan, yang bermaksud: “Sesungguhnya, Allah suka kepada orang yang bertaubat.” (Surah al-Baqarah 2: 222)
 
Oleh sebab itu, sikap seorang Mukmin itu ialah tidak bertangguh untuk bertaubat, kerana ia sikap orang yang sombong dan sifat syaitan.
 
Sebenarnya, sebesar mana pun dosa seseorang Mukmin jika dia mahu bertaubat kepada Allah, pasti diterima olehNya. Malah, kedudukan orang yang bercaubat seperti tiada dosa lagi. Demikian dinyatakan oleh Rasulullah dalam hadis Baginda yang bermaksud:  “Penyesalan ialah taubat. Orang yang bertaubat daripada dosanya sama seperti mereka yang tiada dosa.”(Riwayat al-Tabarani)
 
Berdasarkan hadis di atas, taubat amat mudah di sisi Allah iaitu cukup dengan rasa penyesalan. Maknanya kalau seseorang itu kelihatan sangat menyesali perbuatannya sudah dikira bertaubat di sisi Allah. Cuma taubat itu perlu dilakukan bersungguh-sungguh seperti yang pemah diamalkan oleh nabi Adam dan nabi Yunus. Juga, dia tidak boleh mengulangi dosa dan kesalahan yang pernah dilakukan.
 
Setelah Nabi Adam a.s. diturunkan ke bumi, baginda bertaubat selama 40 tahun dengan membaca doa:

رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْلَنَا لَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الخَسِرِيْنَ

Maksudnya: “Tuhan, kami telah melakukan kezaliman terhadap diri kami. Jika Engkau tidak mengampunkan kami, nescaya kami tergolong dalam kalangan orang yang rugi.”
 
Begitu juga dengan nabi Yunus a.s. setelah ditelan ke dalam perut ikan, baginda terus bertasbih beberapa kali:

لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّيْ كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِيْنَ

Maksudnya: “Ya Allah, tiada Tuhan lain melainkan Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya, aku termasuk dalam kalangan orang yang zalim.”(Surah al-Anbiya ’ 21: 87)
 
Kedudukan Setelah Diterima Taubat
 
Berdasarkan hadis di atas, ia menyedarkan kita betapa Allah Maha Pengampun dan Maha Penerima Taubat. Sikap baik Allah ini harus disambut oleh umat Islam apatah lagi orang yang pemah melakukan dosa supaya segera bertaubat.
 
Seseorang yang sudah diterima taubatnya, mereka sudah dianggap bersih daripada dosa. Keadaan ini menjadikannya orang yang bebas merdeka sama seperti orang yang tidak berdosa. Mereka boleh mengatur kehidupan di dunia tanpa diganggu oleh orang lain. Walau bagaimanapun, mereka harus memenuhkan aktiviti hariannya dengan perkara yang baik.
 
Cuma dalam keadaan ini, ramai juga umat Islam masih memberi persepsi buruk terhadap mereka. Padahal mereka sudah benar-benar berubah ke arah kebaikan, malah sudah bertaubat daripada maksiat. Tetapi mereka yang bertaubat itu masih dilabel sebagai orang yang bersalah.
 
Sebagai contoh, orang bersalah yang telah dibebaskan dari penjara, orang ramai masih memandang serong kepadanya. Sepatutnya, mereka diberi layanan sama seperti orang lain. Semoga mereka menjadi orang yang soleh dan solehah.
 
Selain itu, seseorang yang telah bertaubat telah bersih daripada dosanya. Sesiapa yang mengungkit dosanya lagi, mereka boleh dianggap sebagai menuduh orang baik melakukan dosa. Jika perkara ini berlaku, maka orang yang menuduh itu dianggap sebagai tuduhan palsu. Mereka bukan sahaja berdosa, tetapi diharamkan syurga untuk mereka.
 
Dalam ajaran Islam, kita wajib menutup aib orang lain walaupun mengetahui tentangnya. Dalam kes ini, kita yang menutup aib itu tidak dianggap bersubahat dengan dosanya tetapi kita cuba menutup aibnya. Pada masa yang sama, kita wajib membetulkan kesilapan silamnya.
 
Percayalah, jika semua umat Islam boleh membuat perubahan dan bertaubat daripada dosa lampau, Allah akan menerima taubatnya dengan mudah. Justeru, Allah akan menyelamatkan umat Islam dan dunia ini daripada malapetaka buruk.
bunting-murah

Comments

1 comment… add one
  • sebaik2 orang yang melakukan dosa adalah mereka yang bertaubat dan menyesal diatas perbuatan mereka serta mereka tidak mengulangi perbuatan dosa tersebut.

Leave a Comment