Warna dan Keperibadian Bahagian 1

Warna merupakan satu elemen penting dalam kehidupan kita. Suasana paling indah apabila melihat pelangi berwarna-warni selepas hujan. Makanan yang berwarna memberi kita gambaran rasa tatkala ia hanya sekadar gambar dalam majalah, bukan di depan mata. Baju-baju juga sering dihiasi warna untuk elak dilihat seolah-olah pemakaiannya menghasilkan imej yang lusuh serta membosankan.

Walaupun begitu, pasti ada satu daripada kesemua warna tersebut yang menjadi idaman, yang sering mata menangkap. Warna itulah yang menghiasi almari kita, pilihan perhiasan, malahan warna makanan dan minuman jika boleh.

Sebenarnya, warna kegemaran bukan sahaja sekadar suka-suka. Bahkan pilihan berikut banyak dipengaruhi personaliti diri. Jadi, yang mana satukah pilihan anda, dan samakah analisanya dengan keperibadian anda?

Putih

Simbol kesucian, ketulusan dan kenaifan, putih mempunyai hubungkait yang kuat dengan kemudaan dan kesucian. Kelazimannya mereka yang menyukai warna putih mendambakan kehidupan yang mudah serta sederhana. Jika anda seorang yang telah berusia, kegemaran berwarna putih ini adalah daripada naluri yang mendambakan kesempurnaan dan ideal yang sukar dikecapi, barangkali usaha untuk ‘menangkap’ semula zaman muda pada masa lampau serta kesegaran dan kewibawaan diri ketika itu.

 

Merah

Lambang kekuatan, tenaga dan keutuhan.Warna merah sentiasa menjadi pilihan mereka yang spontan dan agresif. Kelemahan mereka adalah akibat sifat mereka yang spontan, mereka tidak boleh dijangka, cepat menilai dan mengambil pihak. Sifat ini juga menjadikan mereka sukar untuk melihat secara introspektif dan mengenali kelemahan-kelemahan diri mereka. Sukar untuk mereka melihat secara objektif dan lebih mudah untuk meletakkan kesalahan pada orang lain. Ada juga orang yang unik; pendiam tetapi menggemari warna ini bermakna mereka mengingini sifat-sifat personaliti Merah yang soalah-olah hidup, mencerminkan keinginan diri yang terpendam.

 

Maroon / Merah Gelap

Penggemar warna ini kebiasaannya seorang yang matang dan telah mengalami pengalaman-pengalaman getir. Dia disukai ramai dan pemurah.Ia melambangkan seorang yang berpesonaliti Merah tetapi lebih berdisiplin dan telah berhadapan pengalaman hidup yang mendewasakannya.

Merah Jambu

Mereka adalah versi Merah yang lebih lembut. Warna ini sering dijadikan lambang kasih sayang. Wanita yang menggemari warna ini bersifat keibuan.Merah Jambu mendambakan keselamatan, dan layanan istimewa, sejajar dengan sifat romantis dalam diri mereka. Mereka yang menggemari warna merah jambu ini sering kelihatan menawan dan lemah lembut.

Jingga

Warna yang melambangkan kemewahan dan keseronokan ini sering menjadi pilihan mereka yang ranggi dan sukakan keseronokan. Kelazimannya bersifat dramatik, sering mendapat perhatian ramai, namun juga bersifat baik hati dan popular. Boleh menjadi sedikit kucar-kacir dan tidak tetap pendirian, walau bagaimanapun mereka akan cuba sehabis baik untuk mudah disukai. Jingga juga melambangkan kemudaan, kekuatan, keberanian, perasaan ingin tahu yang tinggi, dan keresahan atau tidak boleh duduk diam.

Kuning

Warna yang bercirikan kegembiraan, kebijaksanaan dan daya imaginasi yang tinggi. Ia pilihan minda yang gemar ‘mengembara’ mencari kepuasan dan memenuhi sifat ingin tahu mereka yang imaginatif. Sejajar dengan sifat mereka yang ceria dan bijaksana. Mereka sering memiliki idea-idea bernas, namun tidak menggemari tanggungjawab kerana lebih menyukai kebebasan untuk berfikir dan melakukanapa jua.

Hijau

Lambang harmoni dan keseimbangan, ia sering digunakan untuk logo-logo perbadanan serta syarikat yang meletakkan tema persekitaran dan alam semula jadi. Hijau menjadi simbol harapan, pembaharuan dan keamanan, membuatkan ia disukai mereka yang lembut dan jujur. Mereka yang menggemari hijau mengamalkan sikap berbentuk kemasyarakatan, ramah dan memilih keamanan dari apa jua harga lain. Kelemahan mereka adalah sifat rendah diri dan kesabaran mereka yang tinggi hingga menyebabkan mereka sering menjadi mangsa eksploitasi orang yang tidak bertanggungjawab.

bunting-murah bua tduit dengan youtube adsense

Comments

2 comments… add one

Leave a Comment

Cancel