Perubahan merupakan satu langkah yang sukar. Setiap hari, akan kita ucapkan pada diri,“Aku akan berubah.” Adakalanya kita cemburu akan perubahan diri rakan-rakan dan orang sekeliling yang semakin baik. Walaupun begitu mengapakah begitu sukar untuk mengubah diri kita?
Niat itu sudah ada, tetapi adakah langkah-langkahnya betul? Mari kita lihat dibawah.
(c)mishproductions.tumblr.com
Langkah 1: Kenali Keburukan Diri
Senaraikan keburukan-keburukan diri yang sering dilakukan, daripada kecil-kecilan hingga yang besar. Kemudian kaitkan antara satu sama lain, barangkali boleh dilihat persamaan kategori-kategori keburukan diri itu. Dengan itu adalah lebih mudah mengenalpasti faktor sebenar keburukan diri kita.
Langkah 2: Akui Keburukan-keburukan Tersebut (tanpa bergurau atau memperkecilkan diri)
Mengenali dan mengakui adalah dua perkara berbeza. Begitu juga dengan mengakui secara ikhlas, atas tujuan membanding-bandingkan, atau menyindir dan bergurau.
Mereka yang mengenali keburukan diri tidak semestinya berkeinginan untuk mengubahnya, malahan ada yang mengenali tetapi cuba menyembunyi.
Dengan mengakui pada diri sendiri tanpa berselindung, anda seolah-olah menyiram sebaldi air ke muka atau tersedar daripada mimpi. Anda menerima hakikat bahawa anda perlu berubah dan tidak boleh menangguh lagi.
Langkah 3: Pasang Azam atau Pencapaian yang Ingin Dilakukan
Sekadar ingin berubah tidak mencukupi. apakah bukti anda ingin berubah? Kaman arah tuju selepas memasang niat untuk berubah? Dengan itu, anda perlu melakukan KPI ( Key Performance Index). Contohnya, jika anda gemar bangun lewat, tetapi berasa sangat letih sewaktu bangun, azamkan untuk bangun awal secara berterusan selama seminggu. Apabila berjaya, tentukan pula selama 2 minggu, dan seterusnya.
Langkah 4: Rancang, Rancang, Rancang.
Untuk apa-apa arah tuju, perancangan adalah penting. Sampai mana ingin anda mengubah diri? Dalam jangka masa panjang, apa yang perlu anda lakukan untuk terus memotivasikan diri? 5 tahun, 10 tahun?
Alhamdulillah, seorang rakan penulis berazam ingin membuka perniagaan pada 6 tahun dahulu kerana tidak mahu terlalu mengharapkan duit ibu bapa lagi. Kini, dia mendapat rezeki melimpah ruah dengan perniagaan jualan biskut sendiri.
Langkah 5: Tingkatkan Kesabaran dan Selitkan Ruang Istirehat.
Manusia perlukan istirehat. Itu sebabnya dalam Islam kita dikehendaki untuk bersembahyang; waktu itulah untuk kita bermuhasabah dan meningkatkan lagi motivasi demi Allah s.w.t.
Oleh itu, selingkan sedikit waktu untuk beristirehat, jika tidak kita akan mengalami apa yang dipanggil burnt out. Tetapi, beristirehat dan beriadah jangan sampai terleka pula!
Langkah 6: Lihat Kembali Masa Silam.
Nasihat yang sering didengari adalah, “Lupakan kisah silam.” Sukar, bukan? Dengan itu, jangalah melupakan masa silam,tetapi maafkanlah kamu dan mereka yang terlibat supaya dapat meneruskan hidup.
Jangan lupakan masa silam kerana ia pasti akan datang menghantui diri semula, dan dengan tidak melupakannya menjadikan kita lebih tabah dan bersiap sedia menghadapinya apabila ia timbul semula.
Langkah 7 : Bayangkan Masa Depan Diri Sekiranya Berputus Asa atau Berhenti
Setelah memahami kesilapan masa lalu, kini lihat pula ke hadapan. Bayangkan diri anda hendak berjalan ke arah mana. Ketika saat ingin berputus asa, fikirkan, seandainya anda telah berputus asa awal dahulu ( sebelum memulakan perubahan), dimanakah anda mungkin berada sekarang? Pasti ia bukan di tempat yang anda ingini. Antara jalan itu dengan jalan yang anda lalui sekarang, yang manakah yang boleh memberikan ketenangan hati?
Pilihlah ia.
Langkah 8: Taubat
Ia sepatutnya wujud sejak daripada langkah pertama, namun penulis sengaja menambah ia di langkah ketiga sebagai peringatan. Kadang kala, setelah kita berjaya sampai ke langkah jauh daripada langkah satu, kita menjadi mudah lupa, mudah bangga akan diri tanpa sedar. Oleh itu, bertaubatlah semula. TIdak ada kerugian untuk sentiasa bertaubat, kerana kita tidak semestinya sedar, sehinggalah kita bersujud, akan apa kesalahan yang telah kita lakukan pada hari itu mahupun siapa yang telah kita lukai.
Langkah 9: Mencari Mentor
Sukar untuk meneruskan seorang diri. Maka, carilah mentor sebagai penanda aras, seseorang yang terlebih dahulu menjalani perubahan dan boleh memberi bimbingan serta nasihat. Tambahan pula, perspektif yang berbeza mampu meliputi sebahagian besar perubahan diri yang dikehendaki tetapi tidak disedari keberkesanan oleh diri sendiri.
Langkah 10: Menggalas Tanggungjawab
Alhamdulillah, anda telah berjaya ke tahap ini. Namun begitu, takkan berhenti di sini sahaja? Tidak, kini anda perlu menggalas tanggungjawab. Mungkin ramai diluar sana yang memerlukan nasihat daripada anda. Jangan fikirkan diri anda masih tidak layak; berapa ramai lagi yang cuba melakukan perkara yang sama seperti anda tetapi tersungkur? Anda telah berjaya, kini hulurkan tangan, berikan mereka harapan untuk berjuang semula.
betul, kita kena pandai merancang dari sekarang.