Bersahur Dan Berbuka Puasa

Makan sahur.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Makan sahurlah kalian kerana sesungguhnya makan sahur itu berkah” (Hadis Riwayat Bukhari)

Diriwayatkan dari Zaid bin Tsabit bahawa kami bersahur bersama Rasulullah kemudian kami bangkit untuk menunaikan solat subuh lalu beliau bertanya, “Berapa saat jarak antara kedua (waktu sahur dan waktu subuh)?” Nabi bersabda maksudnya, “Selama orang membaca 50 ayat.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan dari Amru bin Maimun bahawa para sahabat Muhammad SAW adalah orang yang menyegerakan berbuka dan melambatkan sahur. (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

Menyegerakan berbuka.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Selalulah manusia dalam kebaikan, selama mereka menyegerakan berbuka.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan dari Salman bin Amir, bahawa Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud, “Apabila salah seorang di antara kamu berpuasa hendaklah berbuka dengan kurma, bila tidak ada kurma hendaklah dengan air, sesungguhnya air itu bersih.”
(Hadis Riwayat Ahmad dan Tirmidzi)

Diriwayatkan dari Ibnu Umar, bahawa Nabi SAW apabila selesai berbuka baginda berdoa. “Telah pergi rasa haus dan menjadi basah semua urat-urat dan pahala tetap ada insya Allah.”
(Hadis Riwayat ad-Daaruqthni dan Abu Daud)

Berdoa ketika berpuasa dan waktu berbuka.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa, pada waktu berbuka, tersedia doa yang makbul.”

Dalam hadis yang lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Ada tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka : Orang yang berpuasa hingga dia berbuka, Imam (ketua) yang adil dan orang yang teraniaya.”

Menjauhi perkara yang bertentangan dengan puasa.

Puasa adalah ibadah yang utama untuk kita mendekatkan diri kepada Allah, untuk mendidik jiwa dan melatihnya berbuat kebaikan.

Sesungguhnya puasa bukan setakat menahan diri dari makan dan minum sahaja, tetapi juga menahan diri dari apa jua yang dilarang oleh Allah SWT, disamping mengikhlaskan niat kerana Allah SWT semata-mata.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Tidaklah puasa itu dari makan dan minum, tetapi puasa itu adalah dari perbuatan yang sia-sia dan dari perbuatan keji.”

Sabda baginda SAW lagi yang bermaksud, “Berapa ramai yang berpuasa tetapi yang diterimanya hanyalah rasa lapar dan dahaga sahaja; dan berapa banyak orang yang bangun bersolat, tetapi yang diterimanya tiada lebih dari letih dan penat sahaja.”

HafizAmri.Com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *