Era Kebangkitan Umat Islam – Apakah Fenomenanya Sekarang

Era Kebangkitan Umat Islam SekarangEra Kebangkitan Umat Islam

Apabila diperhatikan terhadap fenomena kebangkitan dikalangan umat Islam akhir-akhir ini, ada beberapa bentuk dan corak yang pelbagai. Apakah relevan kebangkitan ini diseru sebagai“Era Kebangkitan Umat Islam”?

Sesungguhnya kita mempunyai kekuatan berjuta pemuda yang berkobar-kobar untuk mengibarkan panji-panji Islam disetiap penjuru dunia akan tetapi, adakah mereka faham apakah tujuan dan akidah perjuangan mereka sebenar? Benarkah mereka berada pada lorong yang sepatutnya?

Kata Imam al-Syahid Hassan al-Banna : “Tidak akan baik sesuatu umat melainkan baiknya kelompok mereka yang berjuang dalamnya, tidak akan baik kelompok tersebut melainkan baik individu yang mempertahankannya, tidak akan baik individu tersebut melainkan dengan memperbaiki diri mereka terlebih dahulu”.

Dr. Abdul Karim Bakkar dalam komentarnya[1] : “Hanya 5% daripada pemuda Islam sekarang yang mampu menyelami realiti kehidupan mereka kepada Allah dengan fikrah yang jelas dan melaksanakan tanggungjawab menyebarkan dakwah”.

Beliau menambah lagi : “Kamu pada masa sekarang ramai akan tetapi seperti buih yang dibawa pantai”.

Syeikh Yusuf al-Qardhawi ketika memberikan tanggapan beliau dalam bukunya “al-Mubasyirat bi Intisoril Islam”  المبشرات بإنتصار الإسلامterhadap realiti umat Islam zaman ini menyifatkan ada beberapa jenis penyakit semasa yang sedang melanda secara umum :

  1. Lemah pegangan Tauhid yang menyebabkan keluarnya pelbagai penyelewengan akidah seperti perkara-perkara khurafat, syirik dan bida’ah yang dicipta dikalangan masyarakat Islam.

Syeikh Yusuf al-Qardhawi

  1. Kurang pengetahuan dan keilmuan tentang Islam yang tulen sehingga  berlaku taqlid buta dikalangan umat Islam terhadap sesuatu ideologi yang sesat.
  1. Cetek idea-idea Islam untuk dibawa ke pentas dunia secara global menyebabkan berlaku penyekatan dan penutupan pintu-pintu ijtihad dalam kehidupan keduniaan.
  1. Kerosakan akhlak Islam dikalangan pemuda pemudi yang menjadikan Barat sebagai ikutan dalam lifestyle mereka.
  1. Kezaliman yang berleluasa dalam dunia Islam daripada kalangan pemerintah negara terhadap rakyat, orang-orang elit terhadap mereka yang miskin, majikan kepada buruh-buruh dan lain-lain menyebabkan terbantut kebangkitan umat.
  1. Kelemahan pelaksanaan syura dalam sistem pentadbiran Islam yang menyebabkan ianya tidak dijadikan rujukan utama dalam perlembagaan negara.

Realiti Gerakan Islam Era Kini[2]

  1. Gerakan Primitif dan Konservatif  تيار الجمود والتقليد 

Golongan ini berpada dengan berpegang kepada zahir nas dan hanya mengambil perkara-perkara yang qat’ie subut قطعية الثبوت dan dalalah subut  دلالة الثبوتsahaja dalam urusan agama dan keduniaan. Mereka menutup ruang ijtihad dan tidak memakai kaedah ta’wil. Mereka mengabaikan penggunaan fiqh taghyir dalam pelaksanaan syariat Islam.

Golongan ini kebiasaannya akan static kepada kelompok mereka sahaja iaitu dikalangan “orang-orang beragama” tanpa keluar kedada masyarakat untuk menvariasikan aktiviti dan seruan dakwah.

  1. Gerakan Kemodenan Barat تيار الحداثة الغربية

Mereka mengemukakan idea-idea falsafah moden yang muncul di Barat sebagai model utama kepada urusan keduniaan. Sekularisma, Pluralisma, Sosialisma, Liberalisma, Kapitalisma, Komunisma, Existentialisma dan lain-lain merupakan ideologi perjuangan mereka.

Pengabaian terhadap persoalan agama dan warisannya sebagai cara mengembangkan seruan mereka dan sebarang isu keagamaan dianggap tidak memberi kemajuan dan peradaban kepada urusan keduniaan. Akal sebagai penghukum dan kajian sebagai medan untuk membenarkan dan memutuskan sesuatu urusan kehidupan. Bahkan secara umumnya prinsip-prinsip yang dinukilkan adalah berdasarkan idividualistik dan materialistik semata-mata.

  1. Gerakan Reformasi Islamتيار الإصلاح والتجديد 

Nafas baru dihidupkan oleh gerakan ini dalam perkara-perkara al-Thawabit  الثوابت(usul dan prinsip-prinsip agama Islam) dengan kembali kepada ketulenan serta keaslian manhaj Islam yang syumul. Ianya juga menghidupkan kembali agama melalui hukum dan teori yang rasional serta relevan terhadap realiti zaman kini melalui keperluan syara’ yang ditimbang melaluimaqasid syar’iah (Tujuan Pensyariatan).

Kepelbagaian dalam berkomunikasi dengan masyarakat dalam pelaksanaan dakwah dan penerapan syariat Islam melalui perkara-perkara al-Mutaghayyirat  المتغيرات(furu’ dan medan yang dibenarkan berijtihad) sebagai proses yang anjal dan fleksibel agar sesuai dengan kehendak semasa, zaman dan tempat.

Antara Kemodenan Barat dan Pembaik-pulihan Islam

Dalam benak pemikiran umat Islam kini, mereka sebenarnya sedang teruji oleh satu gaya pencernaan Barat iaitu proses kebangkitan rakyat melalui kemodenan dan penerapan isu-isu sosial kehidupan manusia. Sekarang umat Islam dalam keadaan “tertipu” dengan menyamakan antara “Pembaharuan Kemodenan Barat” (الحداثة الغربية) dengan “Reformasi Islam” (الإصلاح والتجديد).Dr. Muhammad Imarah

Perkara ini dijelaskan secara terperinci oleh Dr. Muhammad Imarah dalam bukunya “Masa Depan Kita : Antara Reformasi Islam dan Pembaharuan Barat”.

  1. Pembaharuan Kemodenan Barat (الحداثة الغربية)

Ianya bertujuan untuk memberi gambaran yang kognitif iaitu dengan membuang sebarang perkara yang berkaitan dengan kognisi kegamaan seperti proses mental untuk mentafsir, mempelajari dan memahami sesuatu melalui pengamatan terhadap kehendak asas-asass agama.

Ahli falsafah Barat[3] mencipta satu teori berfikir secara halus dalam minda umat dengan mengasing dan membuang perkara-perkara al-thawabit (usul dan prinsip) dalam agama. Lalu keagamaan yang dianggap selama ini sebagai cara memenuhi maslahat (keperluan) dan menghindarmafsadah (keburukan) tidak lagi dipandang bernilai.

Hakikatnya mereka sedang membuang agama dan akidah perjuangan dalam dada umat Islam. Tuhan disisi manusia hanyalah sekadar Pencipta semata-mata pada kacamata mereka. Adapun Pentadbir urusan hidup manusia, pemberi petunjuk, penjaga alam seluruhnya, emberi rezeki dikeduniaan ini semuanya adalah tugas manusia itu sendiri.

Inilah kefahaman daripada Falsafah Aristotle Greek Kuno. Manusia selepas diciptakan Tuhan akan dilepaskan bergerak sewenang-wenang tanpa berhajat kepada tadbir Ketuhanan atau jagaan Tuhan. Manusia juga tidak lagi memerlukan syariat dan para Nabi yang memandu urusan hidup mereka daripada wahyu Ilahi kerana “akal” adalah piawaian utama yang mampu untuk mengatur seluruh urusan hidup manusia.

Benarlah Firman Allah taala :

Surah Luqman  25

“Dan sekiranya mereka ditanya siapakah yang menciptakan langit dan bumi lantas mereka menjawab : Allah ! Katakanlah (wahai Muhamma) Segala pujian itu milik Allah bahkan masih ramai mereka yang tidak mengetahui (kerana masih ada yang menyembah patung-patung dan berhala sebagai menyekutukan Allah)”. (Surah Luqman : 25)

Perhatikanlah, ianya sama dengan teori yang dibawa oleh “Sekularisma” kerana alam keseluruhannya ada yang menciptakannya, namun yang mentadbir keseluruhannya itu adalah manusia yang menjadikan akal mereka semata-mata sebagai Tuhan yang layak untuk mengatur-selia tanpa perlu kepada bimbingan syariat dan wahyu Allah.

Benarlah sebagaimana prinsip yang dilaung-laungkan mereka : “Tiada urusan pemerintahan dalam agama dan tiada urusan agama dalam pemerintahan”. Mereka ingin membuka ikatan akidah dan syariat dikalangan umat Islam daripada prinsip-prinsip asas agama.

  1. Reformasi Ruh Islam (الإصلاح والتجديد الإسلامي)

Reformasi Ruh Islam

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda :

إن الله يبعث لهذه الأمة على رأس كل مائة سنة من يجدد لها دينها

“Sesungguhnya Allah mengutuskan kepada umat ini pada setiap seratus tahun mereka-mereka yang akan memperbaharui (islah dan tajdid) agamanya”.
(Hadis Riwayat Abu Daud)

 Islah إصلاح menurut Ibnu Manzur bermaksud :

“Kelakuan ke atas seseorang atau sesuatu yang membuatnya baik, betul, teratur, adil, sesuai dengan segala nilai yang tinggi”.[4]

 Islah dan tajdid dalam Islam memberi gambaran tentang cara pembaikan Islam dengan membangkit dan menghidupkan kembali dengan nafas baru (reform) terhadap perkara-perkara al-thawabit dan usul dalam agama pada medan yang baru berdasarkan suasana yang kondusif disetiap zaman dan tempat.

Dalam masa yang sama, proses perkembangan dan perubahan perkara-perkara al-mutaghayyirat  serta furu’ dalam agama diadun dengan sebaiknya agar ianya sesuai dengan kehendak semasa tanpa mencacatkan perkara-perkara usul dalam agama.

Usul dalam agama adalah falsafah sesuatu pensyariatan, prinsip, kaedah, teori dan hukum paling asas dalam persoalan agama yang wajib dipatuhi. Adapun furu’ dalam agama adalah tajuk perbincangan dalam fiqh yang diberi peluang padanya berlakunya medan ijtihaddikalangan para fuqaha’ dan ulama.

Islam meletakkan manusia sebagai makhluk yang paling mulia ciptaan Tuhan. Manusia menanggung pelbagai rahsia Allah taala seperti diciptakan daripada ruh Ilahiyyah, diamanahkan menjadi khalifah dimuka bumi, dianugerahkan ikhtiar, kemampuan, kekuatan, kebebasan dan lain-lain.

Syeikh Muhammad Abduh menggambarkan bahawa manusia adalah “hamba kepada Allah yang Esa dan penghulu kepada semua makhluk”.[5]

Semua ini menunjukkan bahawa manusia perlu ditadbir dengan kekuasaan Allah taala melalui penurunan al-Quran dan pengutusan rasul-rasul sejak sekian lama. Ianya bertujuan agar manusia mampu mengerti hakikat penciptaan mereka untuk menjaga prinsip-prinsip keagamaan yang menjadi titik tolak kepada maslahat dan mafsadah kehidupan.

Oleh itu, islah dan tajdid yang dilaksanakan oleh mana-mana individu dan gerakan Islam merupakan gabung-jalin antara memenuhi keperluan urusan keduniaan manusia dan urusan keagamaan dengan tidak megabaikan perkara-perkara usul agama. Maka jika pola berfikir semakin lama semakin memisahkan keduniaan dan keagamaan, ianya bukanlah konsep islahdan tajdid yang diwar-warkan oleh Islam.

Apa yang menyebabkan pelbagai kebobrokan berlaku didunia Barat pada zaman sekarang dengan pelbagai keruntuhan sosial, penyelewangan, kezaliman dan lain-lain adalah kerana mereka telah memutuskan kehidupan mereka daripada agama.

Firman Alla taala :


“Katakanlah (wahai Muhammad), sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, matiku hanya kerana Allah Tuhan sekalian alam”. (Surah al-An’am : 162)

Kesempurnaan Agama Melalui Islah dan Tajdid

Islah dan tajdid yang dibawakan oleh gerakan-gerakan Islam adalah memperkenalkan Islam sebagai sebuah pemikiran yang syumul (meliputi segenap aspek samada usul atau furu’).

Ianya sebagai  menghidupkan kembali ruh perjuangan Islam dan memberi nafas baru kepada survival kebangkitan dalam nadi umat keseluruhannya.Kesempurnaan Agama Melalui Islah dan Tajdid

Sabda Nabi s.a.w. : “Tajdid (perbaharuilah dengan nafas baru) keimanan kamu! Lalu ada sahabat bertanya : Bagaimana hendak kami perbaharui iman kami? Lalu Rasulullah bersabda : Perbanyakkanlah oleh kamu dengan menyebut La ilaha illalLah”. (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Sebab itulah islah dan tajdid dalam Islam membezakan kita dengan golongan Kristien Ortodoks yang hanya fokus kepada persoalan usul semata-mata sehingga tersalah dalam penafsiran dan pelaksanaan dalam ritual keagamaan mereka.

Lalu dikenali konsep pembawaantajdid mereka dengan istilah “Rijal al-Din” yang mengawal-selia segala urusan rasmi kerajaan samada pentadbiran, ekonomi, kebudayaan dan lain-lain.

Ruh kebangkitan yang ditiup dalam naluri umat Islam adalah untuk mengembalikan mereka kepada sebuah kehidupan yang berdasarkan akidah dan syariat sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. dahulu. Akidah dan syariat mengandungi rukun, usul dan kaedah yang tertentu dan apabila disatukan akan menyempurnakan agama Islam.

Perjuangan gerakan Islam sekian lama cuba menanam benih kedalam jiwa umat agar sensitif terhadap sesuatu dasar akidah dan syariat Islam. Dari sanalah akan terbitnya perkara-perkarafuru’ yang sesuai dengan perkembangan masa dan tempat. Oleh itu, para fuqaha’ telah bermuafakat bahawa perkara usul dalam agama sekali-kali ditegah daripada berijtihadsamada persoalan akidah mahupun syariat kerana ijtihad hanyalah dalam medan perbahasanfuru’ sahaja.

Inilah sunnah tajdid dan wasatiah dalam agama kerana setiap zaman dan tempat pasti ada tokoh-tokohnya yang mampu mengembalikan prinsip-prinsip agama dan asas-asasnya.

Benarlah sebagaimana kata-kata yang diungkapkan oleh Ibn al-Qayyim :

“Sesungguhnya binaan dan asas kepada syariat berdasarkan hikmah dan keperluan hamba dalam melayari kehidupan dan menuju tempat kembali. Hakikat syariat adalah keadilan, kasih sayang, keperluan dan hikmah. Sekiranya sesuatu persoalan yang keluar daripadanya keadilan kepada kezaliman, daripada kasih sayang kepada kebencian, daripada keperluan kepada kebinasaan, daripada hikmah kepada sia-sia maka itu semua bukanlah daripada syariat walaupun dimasukkan kedalamnya”.

Agenda Musuh Islam Terhadap Kebangkitan dan Survival Umat Islam

Sesungguhnya Barat kini melihat ada beberapa strategi untuk mengubah kebangkitan Islam dan proses tajdid dikalangan umatnya dengan mengambil prinsip-prinsip asas dan istilah-istilah dalam agama untuk diselewengkan seperti : Kebebasan, penuntutan hak asasi, menentang kezaliman, menegakkan keadilan, mencipta ketamadunan umat, mendapatkan keperluan hidup dan lain-lain sebagai daya penarik untuk mengalihkan pandangan umat Islam daripada akidah perjuangan yang sebenar.

Pendekatan ini dilihat lebih Demokrat, Liberal, Pragmatis dalam berhadapan dengan realiti gerakan Islam zaman sekarang.

Mereka berbicara dengan penggunaan istilah “keagamaan” namun maksud yang ingin disampaikan adalah mengalih pandangan dan menyelewengkan umat Islam daripada sebuah kebangkitan berdasarkan perjuangan Islam sebenar. Mereka telah menukar maksud daripada istilah keagamaan tadi kepada “keperluan dan hak-hak kemanusiaan” yang tiada hubung-kait dengan agama dan wahyu Ilahi. Cara ini menonjolkan Islam supaya dilihat lebih moderat dalam mendepani semasa.Agenda Musuh Islam Terhadap Kebangkitan dan Survival Umat Islam

Walaupun menggunakan istilah yang sama untuk mencipta sebuah kebangkitan dikalangan umat Islam namun kosong daripada akidah perjuangan melainkan hanya sekadar untuk kepentingan individualistik terhadap keduniaan semata-mata. Lalu berhasillah mereka mengalihkan pandangan umat Islam daripada akidah perjuangan mereka sebenar iaitu kerana Allah, Rasul, para Nabi-nabi, agama, syurga, pahala dan lain-lain. Inilah jarum halus musuh Islam (Serangan Pemikiran) الغزو الفكري

Maka kita akan dapati walaupun umat Islam bergabung tenaga bangkit dengan sentimen keagamaan namun tujuan dan maksud mereka adalah semata-mata ingin memenuhi keperluan individualistik dan materialistik yang bersifat keduniaan.

Inilah yang media barat lakukan untuk mnegalih pandangan umat Islam serta melalui pelbagai lagi wasilah seperti pendidikan, kebudayaan, cara hidup, perundangan, ekonomi, dan lain-lain.

Pengasingan dan perubahan fikrah ini kita perhatikan merupakan proses rekonstruksi (satu usaha sedang dibuat oleh Barat) dengan membentuk gambaran serta istilah yang diperjuangkan oleh agama wahyu (Islam) kepada satu bentuk ideologi baru yang dicipta melalui Ilmu Kemanusiaan atau Antropologi (satu pengkajian ilmu berdasarkan perkembangan fizikal, budaya, adat resam dan kepercayaan manusia).

Maka proses rekonstruksi daripada Islam kepada kemanusiaan disini akan melahirkan masyarakat Islam yang tidak merasa tidak relevan lagi perjuangan berlandaskan syariat agama. Semua agama akan dianggap sama dan nilai kepentingannya lebih rendah apabila dibandingkan dengan nilai yang perlu diperjuangkan atas dasar kemanusiaan. Umat Islam akan mengagungkan doktrin-doktrin Barat seperti Liberal, Plural dan Sekular kerana menganggap semua agama adalah sama dan tiada unsur-unsur agama yang boleh diadaptasi dalam pentas urusan keduniaan.

Akhirnya, umat Islam akan lahir sebagai seorang Ateis (yang tidak mempercayai dan mengakui kewujudan dan kekuasaan Tuhan sebagai Pentadbir urusan hidup manusia).

Inilah apa yang dibawakan oleh teori dan konsep Gerakan Kemodenan Barat. Ianya amat-amat berbeza dengan konsep islah dan tajdid dalam manhaj Islam yang dibawakan oleh para ulama dan cendekiawan Islam melalui platform gerakan-gerakan Islam selama ini.

Sepatutnya umat islam perlu sedar bahawa kebangkitan yang berlaku kini dikebanyakan dunia Islam merupakan hasil dan natijah daripada gerakan-gerakan Islam sebelum daripada ini samada dari sudut wasilah ataupun matlamat.

Seruan ini merupakan seruan untuk mengembalikan umatnya kepada sebuah pemikiran Islam yang tulen dan syumul. Inilah gerakan dan manhaj kita. Kebangkitan yang ingin dicipta berdasarkan akidah perjuangan Islam yang tulen dan syumul.

Wallahu a’lam.

Disediakan oleh :

Muhammad Zuhairi bin Zainal Abidin

RUJUKAN : 

[1] Kitab Min Ajli al-Din wal Ummah karangan Dr. Abd Karim Bakkar : m/s 56

[2] Kitab Mustaqbaluna Baina al-Tajdid Islami wal Hadasah al-Gharbiah karangan Dr. Muhammad Imarah : m/s 7

[3] Kitab Tayyarat al-Fikriah karangan Dr. Taha Hubaisyi : m/s 87

[4] Kamus Lisanul Arab karangan Ibn Manzur : Jilid 2

[5] Ibid m/s 21

Rujukan Tambahan :


  1. Kitab al-Mubasyirat bi Intisoril Islam karangan Syeikh Dr. Yusuf al-Qardawi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *