Pada 14 April 1912,jam 11.40 malam waktu tempatan, di tengah kepekatan malam tanpa kelihatan bulan di langit, kapal Titanic milik syarikat perkapalan White Star Line dari United Kingdom telah terlanggar satu bongkah ais besar (iceberg) di utara Lautan Atlantik kira-kira 600km ke arah selatan Pulau Newfoundland, Kanada. Perlanggaran tersebut telah menyebabkan lima daripada 16 ruang kalis air di perut kapal itu dimasuki air laut.
Ketika itu, telah jelas bagi kapten dan anak- anak kapal bahawa Titanic akan tenggelam kerana kapal tersebut hanya dapat bertahan setakat kebocoran di empat ruangan. Kira-kira dua jam kemudian, Titanic karam sepenuhnya pada 15 April 1912. Daripada 2223 orang yang berada di atas kapal tersebut, 1514 orang telah meninggal dunia termasuklah mereka yang terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan diri.
Dengan suhu air Iaut berada pada paras -2 darjah Celsius, hampir kesemua yang berada dalam air telah maut dalam masa beberapa minit sahaja akibat kesejukan,serangan jantung ataupun lemas. Kejadian dahsyat itu menimpa Titanic dalam pelayaran sulungnya. Ia telah berlepas meninggalkan pelabuhan Southampton di England pada hari Rabu 10 April 1912
untuk belayar merentasi Lautan Atlantik menuju ke New York di Amerika Syarikat.
Kapal Titanic bukan sebarangan kapal pada zamannya. Ia merupakan kapal yang terbesar berada di atas permukaan laut dunia ketika pelayarannya. Seramai 15,000 orang pekerja terlibat dalam proses pembinaannya yang bermula pada 31 Mac 1909. Sebelum pelayaran sulungnya, Titanic telah pun “mengorbankan” sejumlah sembilan orang sepanjang tempoh pembinaannya. Selain itu, seramai 246 orang dilaporkan mengalami kecederaan dan 28 orang daripadanya dikategorikan sebagai parah seperti kehilangan tangan atau kaki.
Dek kehebatan reka bentuk dan pembuatannya, Titanic telah digelar sebagai kapal yang tidak mungkin boleh tenggelam (unsinkable). Malah, syarikat White Star Line menyatakan Titanic ialah kapal yang direka supaya tidak boleh karam (designed to be unsinkable). Tidak ada sesiapa menyangka kapal yang begitu gah dan hebat telah karam dalam pelayaran sulungnya.
Kemampuan Teknologi Manusia
Kecanggihan teknologi ciptaan manusia memungkinkan bermacam-macam perkara dapat dilakukan. Rententan daripada itu,
manusia telah membina keyakinan tentang kemampuan teknologi yang terhasil daripada ketinggian ilmu dan keupayaan usaha
yang manusia anggap sebagai milik mutlak mereka. Atau dengan kata lain, manusia percaya kepada kuasa teknologi untuk mencapai apa-apa yang mereka hajati.
Seorang sarjana timur; Tomonobu Imamichi menyatakan teknologi boleh memberi kesan kepada manusia dari aspek kerohanian. Menurutnya, kemajuan teknologi boleh menyebabkan timbulnya sikap yang negatif terhadap agama dari sudut kepercayaan kepada konsep ketuhanan apabila manusia mempunyai keyakinan yang lebih tinggi kepada teknologi.Ia diihat apabila teknologi memungkinkan kejadian-kejadian yang ajaib (miraculous events) berlaku.
Dari sudut lain, ia mungkin berlaku jika manusia sudah hilang kawalan diri apabila berhadapan dengan teknologi lantas
membiarkannya mempengaruhi kehidupan manusia sama ada secara fizikal,intelektual mahupun spiritual. Menurut Imamichi, keadaan ini akan menghasilkan sebagai “pemesinan” kemanusiaan dan ketuhanan (mechanisation of humanity and divinity).
Mempercayai Teknologi?
Paul Virilio menamakan kepercayaan kepada kuasa mutlak teknologi sebagai technological fundamentalism. Mungkin sudah menjadi kebiasaan di Barat menghubungkan kepercayaan yang dianggap melampau dengan istilah fundamentalism. Paul Virilio merupakan seorang ahli teori budaya yang banyak menulis tentang teknologi dan hubungannya dengan manusia. Kini, beliau menjawat sebagai profesor falsafah di The European Graduate School, Switzerland. Beliau ada membicarakan tentang wujudnya satu anggapan tentang ciri-ciri ketuhanan (characteristics of the divine) yang ada pada teknologi, iaitu keberadaan di mana-mana, kesegeraan dan kecepatan (ubiquity instantaneity and immediacy). Sebagai contoh apabila merujuk kepada alam siber, ia juga boleh dikaitkan dengan ICT (Information dan Communications Technology) secara umumnya. Menariknya, beliau mencadangkan supaya budaya beragama dan nilai-nilai moral digunakan untuk memahami teknologi bagi menangani anggapan tersebut.
Jadi, kita boleh bertanya; adakah kita atau orang di sekeliling dilihat terlalu percaya kepada teknologi? Teknologi seharusnya menjadi sebagai satu bentuk usaha yang dilakukan untuk mencapai matlamat hidup dan bukannya satu kuasa yang mampu melaksanakan sesuatu perkara secara mutlak atau seperti dalam bahasa lama “memberi bekas”. Kuasa mutlak hanya milik Allah s.w.t. seperti yang disebut dalam ayat-ayat al-Quran.
Aktiviti dan tindakan manusia sama ada dalam bentuk teknologi, pendidikan, politik, perniagaan dan sebagainya hanya perkara yang diusahakan dengan harapan untuk mencapai perkara yang diinginkan dalam kehidupan. Hanya Allah yang berkuasa dalam menentukan natijah dan kesudahan akhir daripada perkara yang diusahakan tersebut.
Kuasa Mutlak Milik Allah
Betapa canggih dan hebatnya teknologi sama ada dalam bentuk kaedah ataupun alat ciptaan, manusia harus sentiasa sedar bahawa kuasa mutlak yang terhebat hanya milik Allah, Tuhan sekalian alam.
Sejarah Titanic melakar bukti Allah s.w.t. Maha Agung, Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa. Kapal tersebut direka supaya dapat bertahan daripada karam walaupun berlaku empat daripada 16 ruangnya ditenggelami air, dengan dibantu 11 penghadang kalis air. Sedangkan, perlanggaran dengan iceberg pada April 1912 tersebut telah menyebabkan lima ruangnya dimasuki air, iaitu hanya melebihi satu ruang daripada tahap selamat, yang akhirnya menyebabkan ia karam.
Kapal tersebut juga lewat siap dari tempoh yang dijangkakan kerana perekanya, J. Bruce Ismay, telah mengarahkan beberapa perubahan dibuat pada reka bentuk Titanic. Di samping itu, pembinaannya terpaksa ditangguhkan dalam beberapa waktu bagi membolehkan pembaikan dilakukan terlebih dahulu terhadap kapal Olympic, yang telah terlibat dalam satu pelanggaran. Olympic merupakan kapal paling baru milik syarikat White Star Line waktu itu, yang siap beberapa bulan sebelum Titanic.
Ada pendapat menyatakan bahawa jika Titanic siap mengikut jadual dan berlepas pada tarikh yang Iebih awal, ia mungkin tidak akan bertembung dengan bongkah iceberg tersebut.
Rasulullah s.a.w. melarang kita membuat andaian “kalau begitu, maka mungkin begini”, kerana semua perkara yang berlaku aturan daripada Allah s.w.t.
Jika Allah menghendaki sesuatu perkara berlaku, maka dengan mudah sahaja ia akan berlaku. Jelasnya, kuasa Allah mengatasi segala perkara. Betapa hina dan rendahnya kedudukan manusia dengan segala kehebatan teknologi yang ada jika dibandingkan dengan kuasa Allah s.w.t.