Semalam kita membicarakan tentang kopi, hari ini mari berkongsi kisah teh pula. Berbeza dengan kopi, yang amat popular di Eropah dan Amerika, teh pula amat popular di Asia. Contohnya, beberapa negara menjadikan teh antara imej-imej mereka. Apabila Jepun, mesti kita fikirkan teh hijau. Untuk India, teh masala. Di China, pelbagai jenis teh herba, malah ada teh yang dinamakan teh China yang boleh dijumpai di menu-menu restoran Cina.
Asal Teh
Bagaimana teh ditemui? Penulis pernah membaca bahawa sekitar 2737 S.M., Maharaja Shen Nong menemui teh apabila beberapa ulas daun terjatuh ke dalam air yang dimasak hambanya. Pada masa itu teh masih dianggap sebagai air tonik dan hanya digunakan untuk tujuan perubatan sahaja.
Kemudiannya, penulis juga pernah membaca bahawa antara sebab teh menjaditersebar ini adalah kerana pada masa itu punca air kurang sihat dan bersih. Di barat, mereka mengamalkan proses fermentasi dan peraman, justeru menghasilkan bir. Di Asia pula, proses mereneh teh digunakan agar dapat meminum air dengan lebih selamat. Tambahan pula, renehan daun teh yang berbeza dapat memberi impak nutrisi yang berlainan pada tubuh.
Kebanyakan teh import yang kita ambil berasal dari Sri Lanka dan India, namun tahukah anda asal sebenar daun teh tersebut sebelum ditanam di India, adalah di China? Teh adalah industri kedua terbesar di India, dibawah industri pelancongan. Tidak dapat dipastikan sama ada China ataupun India yang menaungi industri teh import, namun yang menariknya kedua-dua negara tidak tersenarai dalam carta negara paling banyak peminum teh. Negara yang menduduki carta di tempat pertama adalah Emirat Arab Bersatu, manakala Britain, yang sering digambarkan rakyatnya gemar meminum teh dan yang memulakan tradisi minum petang ini, menduduki tempat ketujuh.
Penyediaan Teh
Apabila membeli teh, kita sudah membiasakan diri dengan penyediaan teh uncang. Tahukah kita sebenarnya teh lebih enak apabila direneh tanpa uncangnya?
Terdapat perdebatan antara kebaikan dan keburukan penggunaan uncang teh, kerana asalnya daripada sejenis lilin, dan sama ada bahan untuk uncang tersebut bercampur dengan teh apabila direneh. Oleh yang demikian, cara terbaik untuk menikmati teh adalah untuk merenehnya secara terus, bukan dengan uncangnya.Malahan, pada pendapat peminat setia teh, rasa teh yang terbaik adalah yang dinikmati dengan mereneh dedaun tersebut.
Boleh dikatakan teh adalah air kegemaran Asia. Dengan kenyataan begitu, tidak hairanlah ada pelbagai tradisi dan cara penyediaan mengikut negara-negara.
Di Jepun, mereka ada tradisi cara menghidangkan teh ‘Japanese tea Ceremony’. Ia bagaikan satu seni, dan ada kursus serta pengiktirafan bagi sesiapa yang mahir melakukannya.
Di Myanmar pula, terdapat penyediaan teh peram khas yang dipanggil lephet. Bukan sahaja dianggap satu hidangan khas, malah untuk sesetengah majlis atau upacara, ia adalah diwajibkan.
Jenis-jenis Teh
Terdapat kepelbagaian dalam memilih air teh yang memenuhi kehendak masing-masing. Menariknya, semua teh dihasilkan daripada jenis tumbuhan yang sama iaitu Camellia sinensis dan apa yang membezakannya adalah peringkat proses bagi daun tersebut yang memberi kelainan rasa serta kadar anti-oksida.
Salah satu fakta yang sering peminum teh keliru adalah sama ada teh hijau atau teh putih yang lebih ‘mentah’. Ramai yang memikirkan teh hijau yang paling ‘mentah’ hanya kerana namanya ‘hijau’ dan keadaan daun berwarna hijau ketika dipetik. Namun begitu, sebenarnya teh putih adalah yang paling ‘mentah’.
Kementahan atau tahap proses setiap daun teh adalah penting, kerana dengan kurangnyaia diproses atau lebih ‘mentah’, lebih tinggi kadar anti-oksida. Teh putih memiliki anti-oksida paling tinggi berbanding jenis-jenis teh lain.
Teh hitam adalah yang paling ‘tua’ dan dianggap seperti wain antara jenis-jenis teh ( anggapan sahaja, ini tidak bermakna teh hitam tidak halal untuk diminum).
Juga yang sering dikelirukan adalah percampuran herba. Banyak yang mempakejkan ia sebagai herbal infusion tea atau teh herba. Sebenarnya, herbal infusion adalah dikategorikan sebagai tisanes, dan bukannya dikategorikan dalam ‘keluarga’ teh.
Harus dipastikan juga ketahanan teh. Teh Pu-erh amat terkenal dengan rasanya biarpun telah berbulan-bulan lamanya. Lain pula dengan dedaun teh lain, mereka akan menjadi ‘basi’ setelah beberapa bulan.
Teh Oolong antara yang termahal, kecuali jika kita mengambil kira sejenis teh hasil kumuhan panda-panda di daerah Ya’an. Nampaknya sudah menjadi satu trend bahan buangan haiwan yang dijadikan minuman mahal-mahal nilainya, seperti kopi Luwak ( daripada najis musang), kopi gajah (daripada najis gajah dan yang termahal di dunia), begitu juga teh najis panda.
Hal ini kerana bahan-bahan telah diproses dalam perut haiwan-haiwan ini lalu menjadikan ia lebih bernilai kerana melalui proses perkumuhan dan pembersihan yang memakan masa dan tenaga yang banyak berbanding bahan-bahan lain.
Khasiat Teh
Semua teh mempunyai khasiat vitamin B2, B1 dan B6, serta kaya dengan mineral seperti potassium, manganese, asid folik, dan kalsium. Ia juga mengandungi theanine yang bertindak seperti kafein tetapi tidak sekuat kopi. Amalan meminum teh juga sering dikaitkan dengan pengurangan risiko strok.
Bagi mereka yang ingin mengurangkan pengambilan kopi tetapi memerlukan kafein untuk berjaga, boleh bertukar kepada teh. Jika kopi boleh menyebabkan gigi kuning, air teh pula menguatkan gigi kerana kalsium yang berada dalamnya.
Teh putih, jenis teh paling tinggi anti-oksida, juga dikhabarkan membantu menguatkan sistem imun badan dan melawan jangkitan bakteria.
Teh Hijau, antara teh paling popular diminum, dikaitkan dengan pengurangan risiko neurologi seperti Alzheimer dan Parkinson, menguatkan daya ingatan, serta memutihkan gigi kerana kandungan fluoridanya.
Akhir sekali adalah teh hitam. Biarpun paling rendah tahap anti-oksida berbanding dua jenis teh diatas, teh hitam tidak kurang khasiatnya, terutama sekali untuk pernafasan.Ia membantu melindungi peparu daripada kerosakan yang disebabkan menghidu asap rokok. Selain itu, ia membantu melegakan saluran pernafasan, amat sesuai untuk orang asma.
Namun begitu, khasiat-khasiat ini cuma untuk teh yang direneh kosong. Sekiranya ditambah pelbagai jenis perisa dan pemanis, khasiatnya mungkin tidak dapat diterima sepenuhnya.
Oleh yang demikian, andainya anda belum lagi mengamalkan meminum teh, penulis berharap maklumat-maklumat ini cukup untuk memberi anda motivasi memulakan amalan tersebut.
Anda suka kopi ? – Kopi Pak Belalang Murah