Ia berlaku dalam bulan Zulkaedah, selepas pulangnya kabilah-kabilah Quraisy dari peperangan Fijar. Kabilah-kabilah Quraisy yang terlibat dalam perjanjian yang dibuat ialah Bani Hashim, Bani Mutallib Ibn Abdul Manaf, Bani Asad bin Abdul Al-Uzza, Bani Zuhrah bin Kilab, dan Bani Taiym bin Murrah.
Perjanjian tersebut berlaku di rumah Abdullah bin Jud’an At-Taimi. Mereka telah berjanji dan bersepakat untuk memihak kepada sesiapa sahaja yang dizalimi, dan bertindak terhadap pihak yang melakukan kezaliman, sehingga dapat dikembalikan hak kepada tuannya yang dizalimi. Ketika perjanjian tersebut dimeterai oleh kabilah-kabilah Qurasiy, Nabi SAW ketika itu berumur sekitar 14 atau 15 tahun (terdapat riwayat juga mengatakan 20 tahun) turut serta memerhatikan perjanjian itu dilakukan.
Sebab Berlaku Perjanjian Fudhul
Seorang lelaki dari Zubaid datang ke Mekah bersama barangan perniagaannya. Barangan tersebut dibeli oleh Al-‘As ibnu Wail, seorang yang mempunyai kedudukan dan kemuliaan di Mekah. Al-‘As ibnu Wail tersebut telah pun menzalimi lelaki tersebut dengan tidak memberikan bayaran ke atas barangan yang dibeli. Lalu lelaki tadi meminta pertolongan daripada Abdul al-Dar, Makhzum, Jumah, ‘Adi. Namun mereka membantunya kerana melihat kepada kedudukan dan kemuliaan yang terdapat pada Al-‘As ibnu Wail tersebut.
Lantaran itu, maka tercetuslah perjanjian Fudhul bagi kerjasama dalam memastikan Mekah terhindar daripada sebarang unsur kezaliman bagi memastikan Mekah selamat kepada penduduk Mekah dan pihak luar yang datang berziarah atau berniaga di Mekah.
Pengiktirafan Nabi SAW Ke Atas Perjanjian Fudhul
Nabi SAW bersama-sama dengan bapa saudara baginda SAW menyaksikan perjanjian Fudhul ini dimeterai antara kabilah-kabilah Quraisy. Walaupun ketika itu Nabi SAW belum dilantik menjadi seorang nabi dan rasul. Walaupun begitu, namun disebabkan intipati perjanjian yang dilakukan adalah membawa kepada kebaikan umum dan menepati hak keadilan seorang manusia, baginda SAW merasakan begitu teruja.
Hal ini demikian kerana perjanjian yang ditunjukkan menafikan semangat jahiliyah yang keji yang berlaku di kalangan kabilah-kabilah arab Mekah ketika itu iaitu ketaasuban dalam membela kabilah masing-masing. Namun dengan tercetusnya perjanjian ini, maslahat umum menjadi persepakatan bersama dalam memastikan tidak ada unsur kezaliman dan pihak yang dizalimi akan dibela.
Nabi SAW bersabda :
لَقَدْ شَهَدْتُ مَعَ عُمومَتِي حِلْفًا فِي دارِ عَبْد الله بن جُدْعان ما أُحِبُّ أَنَّ لي به حُمْرَ النَّعَمِ وَلَوْ دُعِيْتُ به في الإسلام لَأَجَبْتُ
“Sesungguhnya aku telah menyaksikan bersama-sama dengan bapa saudaraku akan perjanjian (perjanjian Fudhul) yang berlaku di rumah Abdullah bin Jud’an. Maka (perjanjian tersebut) lebih aku sukai daripada unta merah (unta yang berharga mahal dan kualiti tinggi). Dan sekiranya aku dijemput untuk (bersama-sama) dengan perjanjian tersebut ketika Islam (selepas wahyu diturunkan), nescaya akan aku sahut.” – Ahmad no 1567
Jelas menunjukkan perjanjian yang dilakukan walaupun pada zaman jahiliyyah dan dilakukan oleh bukan masyarakat Islam namun sekiranya ia membawa kebaikan umum yang bertepatan dengan kehendak Islam, nescaya Nabi SAW akan bersama-sama dalam kerjasama tersebut. Hal ini demikian kerana perjanjian tersebut tidak melanggar kehendak Islam dan dengan perjanjian tersebut memberikan kekuatan yang lebih apabila masyarakat bukan Islam juga membantu Islam dalam membawa apa yang dikehendaki oleh Islam.
Hal ini merujuk kepada lafaz Nabi SAW dalam sabda baginda tersebut iaitu :
وَلَوْ دُعِيْتُ به في الإسلام لَأَجَبْتُ
Dan sekiranya aku dijemput untuk (bersama-sama) dengan perjanjian tersebut ketika Islam (selepas wahyu diturunkan), nescaya akan aku sahut.” – Ahmad no 1567
Perjanjian Yang Dilarang Dalam Islam
Perjanjian merupakan persetujuan atau persepakatan antara dua pihak dalam melaksanakan apa yang dipersetujui tersebut. Bahkan hukumnya adalah wajib melaksanakan tuntutan dalam perjanjian tersebut selagimana ia tidak bertentangan dengan syara’.
Firman Allah dalam Surah Al-Maidah pada ayat ke-1 :
أَوْفُوا بِالعُقُود
“Sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.”
Amru bin Syuaib meriwayatkan daripada bapanya yang diriwayatkan daripada datuknya bahawa Nabi SAW bersabda :
أَوْفُوا بِعَهْد الجاهِلِيَّة فَإِنَّ الإسلامَ لَمْ يَزِدْهُ إِلّا شِدَّة
“Sempurnakanlah perjanjian yang telah dilakukan di zaman jahiliyyah, maka sesungguhnya Islam tidak menambah apa-apa melainkan untuk menguatkan perjanjian tersebut (dari sudut kebaikan yang dipersetujui bersama).” – Ahmad no 6933
Maka selagimana perjanjian yang dibuat tidak melibatkan maksiat dan perkara-perkara yang berlanggar dengan syara’, maka Islam tidak menghalangnya. Hal ini demikian kerana perjanjian yang dibuat adalah mengambil konsep umum dalam konteks bantu-membantu sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam iaitu melalui firman Allah dalam Surah Al-Maidah pada ayat ke-2 yang bermaksud :
“Dan tolong menolonglah atas dasar kebajikan dan taqwa, janganlah tolong menolong atas dasar dosa (maksiat) dan pencerobohan (kezaliman).”
Persoalan mengenai sabda Nabi SAW yang menyatakan bahawa tiada lagi perjanjian dalam Islam sebagaimana dalam sabda baginda SAW :
أَوْفُوا بِعَهْد الجاهِلِيَّة فَإِنَّ الإسلامَ لَمْ يَزِدْهُ إِلّا شِدَّة, وَلا تُحَدِّثوا حِلْفًا في الإسلام
“Sempurnakanlah perjanjian yang telah dilakukan di zaman jahiliyyah, maka sesungguhnya Islam tidak menambah apa-apa melainkan untuk menguatkan perjanjian tersebut (dari sudut kebaikan yang dipersetujui bersama), dan janganlah kamu mengadakan perjanjian dalam Islam.” – Ahmad no 6933
Berkenaan hadis di atas seorang lelaki bertanya kepada Anas RA, lalu Anas RA menjawab : Sesungguhnya Nabi SAW mengadakan perjanjian dengan bangsa Quraisy dan Ansar di rumahku. – Fathul Bari dalam bab persaudaraan dan perjanjian
Begitu juga dengan sabda Nabi SAW :
لا حِلْفَ في الإسلام وَأَيَّما حِلْف كان في الجاهلية لَمْ يَزِدْهُ الإسلام إِلّا شِدَّة
“Tidak ada perjanjian di dalam Islam. Dan apa-apa perjanjian yang berlaku di zaman jahiliyyah, maka Islam tidak menambah apa-apa ke atas perjanjian tersebut melainkan untuk menguatkan (perjanjian itu).” – Bukhari no 2294, Muslim no 2529 dan Abu Daud no 2927
Yang dimaksudkan dengan tiada perjanjian di dalam Islam ialah perjanjian yang berbentuk perjanjian bagi persaudaraan dalam mewarisi harta pusaka (telah dimansukhkan) dan perjanjian yang ditegah oleh syara’. – Syarah Sahih Muslim oleh Imam An-Nawawi
Kesimpulannya
Bekerjasama dengan non-muslim bukanlah satu larangan secara mutlak. Akan tetapi sekiranya untuk menolak kezaliman yang berlaku dan membawa kebajikan dan kebaikan umum dalam masa yang sama tidak menyebabkan nilai-nilai Islam tergadai maka ia adalah diharuskan.
Perjanjian yang dilarang di dalam Islam adalah perjanjian yang disepakati mengandungi unsur-unsur yang ditegah oleh Islam seperti membela kezaliman yang berlaku.
Wallahu a’lam
Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili Saiman
Rujukan :
1- As-Sirah An-Nabawiyah,oleh Dr Ali As-Solabi, cetakan Dar At-Tauzik Wa An-Nasyr
2- Nur Al-Yaqin Fi Sirah Sayyid Al-Mursalin, oleh Syeikh Al-Khudri, cetakan Dar Shodir
3- At-Taadudiyah As-Siyasiyah Fi Ad-Daulah Al-Islamiyah, oleh Dr Solah Sowi, cetakan Al-Jamiah Ad-Dauliyah Bi Amrika Al-Latiniyah
4- Al-Ikhwan Al-Muslimun Wa Al-Intikhabat, hasil pengumpulan oleh Al-Basair Lil Buhuth Wa Ad-Dirasah