NABI MUHAMMAD S.A.W. SEORANG TOKOH PEMIMPIN POLITIK DAN PEMIMPIN NEGARA
Ringkasan dan olahan daripada kitab :“Al-Rasul Al-Siasi” (Tulisan : Prof. Dr Muhammad Imarah)
Dalam Islam, perbincangan tentang kaitan antara “Agama” dan “Negara” adalah berdasarkan skop “Nabi Muhammad sebagai Utusan Politik”. Ini kerana, agama dan politik adalah perkara yang tidak boleh diasingkan bahkan ianya merupakan antara skop perbincangan yang penting dalam Islam.
Pengertian Rasul ialah :“Manusia yang telah diutuskan oleh Allah taala kepada makhluk untuk menyampaikan hukum-hakam (agama)”.[1]
Hukum-hakam agama yang dimaksudkan adalah :“Pengantaraan antara Allah dan mereka yang mampu berfikir(manusia) dikalangan makhluk-Nya, untuk mengalihkan kekurangan mereka tentang perkara-perkara yang tidak mampu akal memikirkannya daripada kepentingan dunia dan akhirat”.[2]
Pengertian Siasah ialah :“Memimpin manusia dan memandu mereka”.[3]
Dalam ilmu warisan Islam, ia dianggap disisi kacamata para ulama sebagai kepimpinan Islam yang berkaitan dengan keadilan, pembaikan dan reformasi.Itulah kepimpinan yang berlandaskan politik Islam.
Disini kita dapati, perkaitan yang kuat antara pengutusan Rasul sebagai pembawa risalah dan sebagai pemimpin kepada dunia untuk membawa keadilan dan pembaikan kepada masyarakat.
Namun, perbahasan tentang politik tidak hanya tertumpu kepada petunjuk daripada risalah dan perkara-perkara thabit (usul dalam agama)sahaja kerana medannya amat luas yang boleh menerima perubahan dan perkembangan dalam perkara-perkara furu’ (cabang agama).
Apabila ada sesuatu bahagian dalam skop siasah yang tidak pernah didapati dalam nas-nas wahyu dan sirah Rasulullah s.a.w. maka hendaklah dipandunya dengan baik dan mestilah berkonsepkan keadilan. Ini kerana keadilan adalah perkara yang usul dan wajib dalam agama, adapun cara dan kaedah pelaksanaan untuk menegakkan keadilan dalam sebuah pentadbiran dan politik merupakan satu keluasan yang dibenarkan oleh ulama untuk dilaksanakan sesuai dengan kehendak syariat agama.
Oleh itu, cara dan kaedah dalam pentadbiran dan politik itulah yang dikemukakan oleh ulama dengan istilah“Siasah Syar’iah”.Maka sekiranya seorang pemimpin itu melaksanakan tindakan politiknya dalam pentadbiran selari dengan syariat maka itulah kepimpinan yang diajarkan Rasulullah kepada umatnya.
PERBANDINGAN DUA IDEOLOGI YANG MELAMPAUI DARIPADA ISLAM
Terdapat dua ideologi pemikiran tentang perkaitan antara agama dan politik.
Golongan Pertama (Sekularisma dan Liberalisma Barat)
Mereka yang ingkar tentang perkaitan antara agama dan politik.Bagi mereka, agama Islam hanyalah agama spiritual semata dan Rasulullah yang diutuskan hanyalah membawa akidah bukan perjangan untk menegakkan sebuah pemerintahan dan kerajaan Islam.Mereka tidak mengiktiraf Rasulullah sebagai pemimpin negara dan baginda bukanlah seorang ahli politik yang memandu rakyatnya.
Dahulu, setelah kejatuhan khilafah[4], kebanyakan negara umat Islam telah diserang dengan satu ideologi iaitu Sekularisma. Ia adalah fahaman yang mengasingkan antara urusan kehidupan manusia dengan pegangan keagamaan yang mereka anuti. Apatah lagi mereka tidak mengiktiraf bahawa Rasulullah s.a.w. sebagai pengasas kepada sebuah Daulah Islamiah.
Asasnya adalah daripada satu ayat dalam Bible Matius 21-22 yang berbunyi :“Berikanlah hak pemerintahan kepada pemerintah, berikanlah hak Tuhan kepada Tuhan”.
Kata mereka :“Sesungguhnya Muhammad s.a.w. tidak lebih melainkan seorang utusan untuk menyeru kepada agama semata-mata (ritual sahaja) yang tidak menyeru kepada sebuah gagasan pemerintahan dan pentadbiran. Bahawa baginda tidak pernah mengasaskan sebuah kerajaan iaitu tidak pernah memahami konsep berpolitik samada daripada lafaz dan yang sinonim dengannya”.[5]
Golongan Kedua (Gerakan Islam Syiah dan Khawarij)
Agama dan politik adalah merupakan satu perkara yang mempnyai kaitan yang amat kuat.Bagi mereka, politik adalah daripada salah satu rukun asas dan usul dalam agama.Sekiranya dilanggari dan tidak berpegang dengannya maka seseorang itu menjadi kufur.
Khawarij telah kelar daripada Islam disebabkan tidak puas hati atas tindakan Saidina Ali. Lalu mereka tidak boleh membezakan antara “hukum Allah yang thabit” dan “pemerintahan dengan maksud memimpin negara” sehingga meletakkan dalam usul mazhab mereka bahawa kepimpinan dan pemerintahan adalah rukun Islam. Tidak ada bahagian untuk makhluk bersuara dan melontarkann idea melainkan semuanya daripada nas-nas wahyu.
Begitu juga Syiah yang menisbahkan imam-imam mereka sebagai maksum (terjaga daripada dosa).Bagi mereka, imam-imam adalah ruh Allah dimuka dunia yang mengemudi dunia dengan agama. Maka tidak akan sempurna iman dan agama sesorang sekiranya tidak beriman kepada 12 imam mereka.
Oleh sebab itulah, ada dikalangan oreantalis Barat yang menyamakan Islam dengan “Rahib dan paderi gereja”yang lebih dikenali dengan pemerintahan Teokrasi yang mucul di era Kegelapan Eropah dahulu sebelum kurun 16 Masihi dikalangan Kristian Katolik.
Syiah dan Khawarij sebenarnya telah ditimpa barah “taqlid” aoabila menjadikan sumber-sumber agama lain sebagai method pemikiran seperti kerajaan Parsi Kuno (Zoroastrianisme) yang ikut membuta tuli kepada sembahan “Ahura Mazda” sebagai Tuhan yang bijaksana terbentuk daripada prisip dualisme iaitu Tuhan Kejahatan “Ahriman” dan Tuhan Kebaikan “Azdan”.
Mereka juga terkesan dengan empayar Rom dahulu yang menjadikan Zeus sebagai bapa tuhan dan manusia yang memerintah Olympians.Begitu juga terkesan dengan Pope (Ketua Paderi) yang menggelarkannya sebagai “Penghukum”.
KAITAN ANTARA AGAMA DAN NEGARA, RISALAH DAN POLITIK
Islam yang tulen sebagaimana acuan Rasulullah s.a.w. Baginda mengajar umatnya bahawa dalam urusan pentadbiran dan politik dibenarkan ruang ijtihad dan melalui proses perkembangan mengikut suasana tempat dan zaman. Baginda s.a.w. pernah bersabda :“Kamu lebih mengetahui tentang perkara keduniaan kamu”.[6]
Inilah ciri manhaj Islam yang tulen iaitu al-Wasatiah (kesederhanaan) tidak melampau dan tidak pula mengabaikannya. Kesederhanaan inilah yang menyeimbangkan antara pelbagai aspek-aspek yang ada dalam Islam, begitu juga antara agama dan politik.
Maka, sepakat jumhur ulama’ Ahli Sunnah wal Jamaah menyatakan bahawa membentuk sebuah negara bukanlah satu rukun asas daripada rukun-rukun Islam.Walaupun begitu, para ulama bukanlah berpendirian bahawa pembentukan sebuah negara perlu diasingkan daripada agama Islam sebagaimana golongan Sekular.
Tetapi, dalam prinsip agama Islam, pembentukan sebuah negara adalah sebagai sunnatullah sejak pengutusan rasul-rasul terdahulu lagi untuk memimpin ummah dan mengurus keperluan manusia. Ini kerana ia sebagai keperluan dalam satu peradaban dan tamadun untuk menegakkan perkara-perkara usul dalam agama iaitu membasmi kezaliman, menegakkan keadilan, menunaikan kewajipan-kewajipan fardhu dalam agama seperti pelaksanaan hudud, qisas, solat, zakat, menuntut ilmu dan lain-lain.
Firman Allah :“Apabila kamu memberi hukuman dikalangan manusia maka hendaklah berhukum dengan adil”. (Surah al-Nisa’ : 58)
Kita boleh lihat dalam sejarah ketika zaman khalifah pertama Abu Bakar al-Siddiq, beliau menyatakan prinsipnya untuk memerangi golongan yang enggan mengeluarkan zakat.Ini kerana mengeluarkan zakat merupakan kefardhuan agama maka pemerintah bagi sebuah kerajaan Islam mestilah memungut zakat dan membahagikannya kepada mereka yang berhak agar dapat menunaikan hajat dan keperluan masyarakat yang hidup dalam satu komuniti dibawah pentadbiran khilafah Islam.
Inilah kebijaksanaan yang dipamerkan oleh Abu Bakar bagi menyatukan dan mengadili seluruh masyarakat dibawah naungan sebuah Daulah Islamiah (kerajaan Islam).
PANDUAN SEBUAH NEGARA ISLAM PERTAMA YANG DIASASKAN OLEH RASULULLAH S.A.W.
Selepas hijrah Rasul dan para sahabat baginda ke kota Madinah (622M), ia menjadi petanda dan isyarat tentang sebuah pembentukan negara Islam. Sebelum sebulan penghijrahan Rasulullah tersebut, baginda telah mengasaskan sebuah kerajaan kecil dengan mempersadarakan antara kaum Aus dan Khazraj ketika mereka semua berkumpul pada waktu haji yang lebih dikenali dengan “Bai’atul Aqabah”.[7]
Selepas itu mereka berhijrah ke Madinah untuk mengasaskan sebuah politik dan kerajaan Islam disana.Kemudian, baginda meminta daripada kalangan mereka dipilih sebagai pimpinan mewakili kelompok masing-masing sebagai Naqib (ketua).Lalu dipilih 9 orang daripada Khazraj dan 3 orang daripada Aus.
Lalu, apabila peristiwa hijrah berlaku, maka terbentuklah satu “Ummah Mukminah” dikalangan Muhajirin dan Ansar dengan ikatan persaudaraan yang kuat.al-Quran pula dijadikan dustur(perlembagaan) secara rasmi bagi sebuah jemaah yang beriman keapda Allah. Kemudian dibuat perjanjian dengan golongan Yahudi di Madinah supaya tidak mencetuskan peperangan dan permusuhan bahkan untuk saling tolong-menolong bagi menjaga keamanan kota Madinah.
Apa yang hendak di fokuskan dalam siri pembentukan awal sebuah kerajaan Islam ialah pemimpinnya merupakan seorang Rasul yang membawa risalah agama daripada Allah dalam masa yang sama mengasaskan sebuah pembentukan politik dan kerajaan Islam agung, itulah Muhammad bin Abdullah s.a.w.
Maka baginda mentadbir sebuah kerajaan Islam berperlembagaan Al-Quran, berhukumkan syariat agama, memutuskan sesuatu pelaksanaan melalui syura (majlis mesyuarat rundingan).Ini kerana polemik dalam sebuah pentadbiran memerlukan kepada perbincangan dan ijtihad dikalangan ahli-ahlinya bagi melaksanakan sebuah politik yang matang dan adil.
Contoh pelaksanaan syura dan ijtihad untuk melunaskan sesuatu keputusan tentang persoalan-persoalan yang melibatkan strategi mentadbir dan berpolitik daripada baginda s.a.w.
- Pada peperangan Badar al-Kubra, ketika kali pertama pertemuan antara muslimin bertemu dengan golongan kafir, Rasulullah s.a.w. telah mencadangkan melalui pendapatnya untuk memilih kawasan perang yang strategik.
Lalu salah seorang sahabat baginda, Hubbab bin Munzir bertanya kepada baginda s.a.w. adakah ianya daripada wahyu ataupun pendapat baginda Nabi s.a.w. Lalu Nabi mengkhabarkan ianya daripada pandangannya.
Lantas Hubbab bin Munzir mencadangkan tempat yang lebih sesuai yang lebih besar manfaatnya kepada umat Islam. Lalu Rasulullah s.a.w. mengambil pendapat tersebut yang lebih memberikan keuntungan dan kelebihan .
Ini menunjukkan tentang pengiktirafan Rasulullah s.a.w. tentang kebebasan bersuara dan berpendapat sebagaiamana perbincangan dan perbualan antara Rasulullah s.a.w. bersama dengan para sahabatnya.
- Sebelum peperangan Uhud, Nabi dan para sahabat bermesyuarat dan keputusannya untuk kekal berada di Madinah supaya boleh mereka melancarkan anak panah oleh kaum lelaki yang berada di atas bumbung-bumbung rumah. Tetapi Nabi s.a.w. mengambil pandangan daripada salah seorang pemuda yang merancang untuk keluar menuju kepada pihak musuh,
- Pada peperangan Ahzab, Salman al-Farisi mencadangkan untuk menggali parit sebagaimana diambil daripada taktik dan strategi perang di Parsi. Lalu Nabi s.a.w. menerima pandangan tersebut dengan mengalikan lubang dan parit di sekitar Madinah iaitu dikawasan Khandak.
Oleh kerana itu, Imam al-Qurafi mengklasifikasikan sunnah kepada empat :[8]
- Kelakuan daripada Risalah Agama (Islam) dengan menyatakan tentang hukum-hakam syariat daripada Allah, berita gembira dan peringatan melalui wahyu.
- Kelakuan daripada Fatwa yang dikeluarkan oleh Nabi sebagai menghuraikan kerumitan dan tafsiran secara lebih terperinci darpada nas-nas wahyu yang umum.
- Kelakuan Nabi daripada sesuatu tindak-tanduk baginda dalam memutuskan seuatu pelaksanaan hukuman apabila berlakunya salah faham dan percanggahan dikalangan umatnya.
- Kelakuan daripada perkataan, tingkah laku, pengakuan Nabi tentang sesuatu yang diputuskan oleh baginda tentang persoalan pentadbiran dan isu-isu yang berkaitan dengan suasana politik pentadbiran dalam kerajaan Islam.
Konklusinya, bahagian satu dan dua adalah termasuk dalam perkara yang thabit dan usul dalam Islam yang tidak boleh dicanggah dan di ubah. Adapun bahagian tiga dan empat adalah termasuk dalam perkara furu’ dan cabang dalam Islam yang boleh berubah dan variasi dalam proses pelaksanaannya berdasarkan kesesuaian keadaan, masa dan tempat.
Wallahu a’lam…
“Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan”
Disediakan oleh:
Muhammad Zuhairi bin Zainal Abidin
– Kitab ini pernah dikeluarkan oleh Majalah Al-Azhar keluaran bulan Rabi’ul Awwal 1433H melalui sisipan yang diberikan secara percuma. Kemudian dicetak kembali oleh Pustaka Darul Salam, Mesir.
[1] Kitab Syarh al-Aqa’ied Nasafiah karangan Imam Sa’duddin al-Taftazzani : m/s 129-130.
[2] Ibid : m/s 457-458
[3] Kamus Mu’jam al-Wasit
[4]Kejatuhan Khilafah Islamiah pada 3 Mac 1924M di Turki melalui tangan seorang munafik Kamal al-Tartuk.
[5] Kata-kata ini adalah daripada sebuah kitab al-Islam wa Usulul Hukmi karangan Syeikh Ali Abdul Raziq : m/s 154
Ulama menyatakan bahawa beliau adalah salah seorang yang membawa masuk fahaman Sekularisma ke Mesir lalu pada tahun 1925M yang mendapat tentangan hebat oleh kebanyakan ulama Al-Azhar ketika itu. Antaranya Syeikhul Azhar Muhammad Khidr Hussein yang telah menfatwakan Syeikh Ali Abdul Raziq dan bukunya sesat.
[6] Hadis Riwayat Imam Muslim, Ibn Majah dan Ibn Hanbal
[7] Lihat : Kitab Majmu’atul Wasa’ieq al-Siasiah lil ‘Ahdi al-Nabawi wal Khilafah al-Rasyidah karangan Muhammad Ubaidillah al-Haidar Abadi : m/s 15-21
[8] Lihat kitab al-Ihkam fi Tamyiz al-Fatawa karangan Imam al-Qurafi (1285M)