Jika anda suka menulis, maka simptom Writer’s Block ini tidak asing bagi anda. Anda tidak keseorangan.
Menulis merupakan satu kemahiran yang dimiliki ramai. Malah,ada mengatakan menulis ini adalah kerja yang paling senang. Tanggapan itu sebenarnya salah. Biarpun hampir semua orang ada kemahiran menulis, tidak semua yang benar-benar minat menulis. Hal ini kerana biarpun secara fizikalnya mudah, ia memerlukan kekuatan daya fikiran yang kritis dan kreatif. Ada yang memakan masa berjam-jam untuk menghasilkan satu rencana atau tesis, ada yang mengambil masa satu jam sahaja. Bagi sesiapa yang menyara kehidupan dengan karya penulisan, Writer’s Block adalah satu perkara yang menyusahkan.
Writer’s Block adalah satu situasi dimana para penulis menghadapi kebuntuan semasa menulis. Hal ini mengganggu produktiviti kerana kreativiti penulis terjejas. Lebih teruk lagi, ada sesetengah penulis yang tergendala kerana mengalami writer’s block bertahun-tahun lamanya.
Hal ini diakui ramai. Terdapat satu filem pendak dilakonkan oleh pelakon Breaking Bad, Bryan Cranston, yang bertajuk Writer’s Block.
Antara punca-punca Writer’s Block:
Tekanan
Tekanan boleh menjadi kebaikan dan keburukan. Penulisan kelazimannya adalah berkisar tentang kepayahan hidup, dan di situ tekanan mampu memainkan peranannya. dengan menulis, para penulis boleh berkongsi kisah cerita untuk dijadikan pengajaran.
Namun begitu, tekanan juga boleh menyebabkan para penulis berhenti daripada menulis. Ini berlaku apabila perkara yang ditulis bukanlah berkaitan dengan apa yang sedang dialami, dan tekanan tersebut mengaburi diri daripada cuba mengalami dan memahami apa yang harus ditulis.
Emosi
Kemungkinan apa yang sedang ditulis adalah sesuatu yang sensitif kepada penulis. Hal ini menyebabkan penulis terhenti akibat perasaan dalam dilemma dan tidak ingin meneruskan dengan kerisauan ia akan membuka kotak perasaan yang dipendam. Contohnya, penulis yang pernah diperkosa mungkin akan tersentak dan kelu apabila dipadankan dengan rencana tips keselamatan ketika berseorangan. Dia akan terhenti dan sukar untuk sambung kembali kerana mengingati pengalamannya sendiri.
Ia dipanggil emotional barrier dan hanya boleh diatasi apabila penulis berjaya menyelesaikan isu-isu yang sukar untuknya bincang sebelum ini.
Fokus
Penulis sukar untuk menumpukan perhatian menulis. Hal ini mungkin disebabkan terdapat pelbagai masalah yang difikirkan, penulis sedang menghadapi burn-out – keadaan dimana sebelumnya penulis berkarya berterusan tanpa henti sehingga otaknya kepenatan lalu ‘memberontak’ – , atau penulis sendiri ingin melengah-lengahkan masa.
Faktor untuk yang terakhir kebiasaannya terjadi apabila telah terlalu banyak kali Writer’s Block berlaku padanya hingga dia hilang kepercayaan kepada kebolehan diri sendiri dan mula hilang semangat untuk berkarya.
Walau bagaimanapun, para penulis harus tahu, Writer’s Block sebenarnya bukan tanda tamatnya perjalanan penulisan mereka. Terdapat banyak tips dan nasihat untuk mengatasi masalah Writer’s Block ini.
1. Tempat Tanpa Gangguan
Para penulis harus mencari satu lokasi yang sesuai untuk dia menulis. Ia tidak semestinya memiliki sebuah meja dan kerusi. Di katil, di taman, malahan di dapur atau ruang tamu. Yang penting, tidak ada gangguan agar penulis boleh fokus pada penulisannya.
2.Membawa perakam suara
Kadang kala sebuah idea boleh datang dengan pantas hingga tiada kesempatan untuk mencatat. Pada masa itu, adalah lebih efisien untuk membawa rakaman suara. Dengan menekan butang ‘Record’ dan ‘Stop’ penulis boleh merakam idea-idea tersebut sebaik sahaja ia terlintas di fikiran kemudian pulang untuk menaipnya.
3. Mendapat tidur yang cukup
Biarpun ada masanya naluri menulis itu amat tinggi, namun kesihatan harus dititik-beratkan. Jika tidak, peluang untuk berlakunya burn-out menjadi lebih tinggi. Adalah lebih baik melakukannya perlahan-lahan dan berterusan daripada melakukannya dengan cepat tetapi terhenti di tengah jalan.Dapatkan tidur secukupnya agar lebih segar di keesokan hari.
4. Lakukan benchmark dan rekod pencapaian
Adalah mudah untuk hilang minat apabila tiada pencapaian untuk dicatatkan. Maka, untuk menjadikan penulisan lebih seronok dan mencabar, letakkan tempoh tamat tulis ( deadline), had path perkataan dan perancangan apa yang harus ditulis pada hari-hari tertentu.
5. Jangan menyunting sebelum habis
Ini akan mencelarukan minda. Habiskan dahulu penulisan anda, kemudian baru menyemak dan menyunting. Cubaan menyunting sebelum habis mungkin akan memecahkan momentum penulisan, justeru menyebabkan penulis hilang idea untuk menyambung. Sebaliknya, penulis akan lebih tertumpu kepada mencari kesalahan. Memperbetulkan penulisan adalah satu tabiat yang baik, tetapi keutamaan utama adalah untuk menghabiskannya dahulu.
6. Belajar menerima kritikan
Kritikan boleh menjadi pembunuh semangat menulis. Perkara ini boleh mengganggu tumpuan penulis sehingga tidak mampu menulis lagi. Seandainya ia mencapai gangguan emosi dan mental, ia bukan sahaja menyukarkan kehidupan penulis dalam bidang penulisan, malah merosakkan perjalanan hidup secara umum.
Dengan itu, para penulis harus belajar ‘menebalkan muka’ dan menerima kritikan untuk cuba menulis dengan lebih baik. Sekiranya ini dapat diatasi, kebanyakan permasalahan lain akan menjadi lebih mudah.
7. Jalani hidup
Kebuntuan sering berlaku apabila penulis telah lama berkurung atau terlalu menumpukan pada menulis, hinggakan mereka lupa untuk menjalani hidup diluar bidang penulisa. Menjalani hidup amat penting supaya penulis dapat memahami kehendak dan minat pembaca-pembaca yang berpotensi membaca karyanya. Selain itu, penulisan yang mempunyai impak yang lebih besar adalah penulisan berkisarkan pengalaman hidup.