Gelatin adalah satu bahan yang digunakan di dalam industri makanan dan perubatan kerana sifatnya yang unik. Manusia telah menggunakan gelatin sejak beratus-ratus tahun yang lalu. Kini, kegunaannya telah diperluaskan ke dalam industri farmaseutikal, kosmetik dan teknikal pula. Tanpa gelatin, sesetengah produk tidak mungkin dapat dihasilkan.
Terdapat dua jenis gelatin. Gelatin ‘Type A’ kebanyakannya didapati dari kulit babi. Gelatin ‘Type B’ pula didapati dari tulang-tulang dan kulit-kulit haiwan ‘bovine’ seperti lembu, kambing dan kerbau.
Gelatin telah menjadi isu hangat bagi seluruh penduduk dunia termasuk orang-orang Islam, Yahudi, Vegetarian, Buddha dan lain-lain apabila mereka mengetahui sumber gelatin adalah dari tulang-tulang dan kulit-kulit haiwan. Bagi orang-orang Islam, walaupun sumbernya dari binatang yang halal dimakan, mereka harus memastikan bahawa haiwan-haiwan tersebut disembelih oleh orang Islam dan mengikut syariah.
Antara makanan yang sering mengandungi gelatin ialah:
* Konfeksioneri (coklat, gula-gula dan lain-lain)
* Puding, kek dan pai
* Gummi jelli, Pastil berperisa
* Yogurt, keju dan butter
* Ais-krim
* Pencuci mulut segera
* Gula-gula getah (Chewing gum)
* Produk-produk daging yang diproses.
**Gelatin digunakan dalam produk-produk diatas sebagai agen penstabil, agen penebal, agen pembuih, agen pelekat atau agen pengikat.
USM cipta kaedah kesan gelatin babi
PULAU PINANG 5 Nov. – Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilkan kaedah untuk menentukan sama ada sumber asas pembuatan kapsul ubat produk farmaseutikal itu halal atau sebaliknya sebelum memasuki pasaran.
Pensyarah Pusat Pengajian Sains Farmasi (PPSF), Prof. Madya Dr. Gam Lay Harn berkata, kandungan penghasilan kapsul itu dapat dikesan melalui teknik penanda bio iaitu pengekstrakan dan pengasingan protein.
Katanya, kebanyakan sumber yang digunakan dalam penghasilan kapsul ubat-ubatan adalah gelatin iaitu campuran protein yang diekstrak daripada kulit binatang.
Beliau berkata, penggunaan gelatin menjadi isu kerana dalam pengeluarannya, sumber protein daripada babi lebih banyak digunakan berbanding lembu kerana ia lebih murah dan senang diperolehi.
”Penyelidikan ini memfokuskan kepada kaedah yang boleh mengenal pasti sumber protein yang digunakan untuk penghasilan gelatin sama ada daripada babi, lembu mahu pun sayur-sayuran.
”Malah kaedah ini juga sangat tepat dan kemungkinan untuk mendapat keputusan positif palsu atau negatif palsu tidak wujud kerana penanda bio yang digunakan juga berasaskan kepada protein.
”Teknik penanda bio yang spesifik ini juga mampu menghasilkan keputusan yang tepat,” katanya pada sidang akhbar khas yang dipengerusikan oleh Dekan PPSF, Prof. Madya Syed Azhar Syed Sulaiman di sini baru-baru ini.
Turut hadir penyelidik bersama, Zuraidah Mohd. Zobir dan Yap Beow Keat.
Lay Harn menambah, kaedah itu juga bukan sekadar dapat menentukan campuran gelatin tulen sebaliknya berupaya mengenal pasti sumber protein melalui gelatin campuran (wujud kedua-dua unsur protein babi dan lembu dalam gelatin).
Beliau menjelaskan, walaupun dengan campuran 20 peratus protein babi dan 80 peratus lembu, menerusi kaedah itu ia dapat mengesan kandungan protein babi yang wujud dalam gelatin berkenaan berbanding kaedah sedia ada.
”Kaedah sedia ada dalam pasaran kebanyakannya menggunakan teknik ‘polymerase chain reaction’ (PCR) iaitu satu kaedah pengesanan berasaskan kepada kehadiran asid deoksiribonukleik (DNA) babi dalam gelatin.
”Ia tidak konsisten kerana DNA dianggap kotoran dalam gelatin dan kebarangkalian kehadiran DNA juga tidak menentu kerana ada ketika ia tidak wujud langsung dalam gelatin,” katanya.
”Jadi, kebergantungan terhadap kewujudan DNA dalam kaedah PCR menjadikan sesuatu keputusan itu tidak boleh dipercayai dan kemungkinan untuk mendapat keputusan positif palsu atau negatif palsu amat tinggi,” ujarnya.
Lay Harn yang juga pakar dalam bidang proteomik atau kimia protein iaitu satu cabang dalam bidang bioteknologi berkata, penyelidikan yang dimulakan setahun lalu itu merupakan kaedah yang pertama seumpamanya di dunia.
Katanya, kaedah mengenal pasti gelatin halal itu juga telah ditawarkan kepada industri farmaseutikal dan bagi yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubunginya di talian 04-6532208.
Sumber : utusan online
Kesimpulannya,
tanpa kita sedari penggunaan Gelatin dalam makanan adalah perkara biasa dalam industri tersebut. Cuma yang menjadi masalahnya sekarang kita tidak tahu sama ada produk yang dihasilkan menggunakan Gelatin yang halal atau tidak. Terutamanya produk-produk makanan yang dihasilkan dari negara China, seperti makanan ringan dan sebagainya.
Pasti Gelatin babi lebih murah dan mudah didapati di sana berbanding gelatin yang dihasilkan oleh lembu, jika ada pun adakah lembu tersebut di sembelih oleh orang Islam?
Namun jika produk yang dihasilkan tersebut mengandungi tanda halal tiada masalah, tapi kenyataannya jarang sekali kita nampak bahan makanan yang diimport daripada negara China mempunyai logo halal.
Jika alat di atas dapat dihasilkan lebih komersil lagi bagus, sekurang-sekurangnya setiap rumah ada satu supaya mudah untuk kita menentukan kandungan sebenar gelatin yang kita gunakan.