Cinta Merentasi Masa

cinta romantisTerdapat dua jenis cinta, iaitu cinta romantis dan cinta ghairah. apa yang membezakan ia berdua adalah dimana cinta ghairah akan pudar, cinta romantis pula lebih berkekalan. Hal ini kerana sifat gementar dan risau yang hadir dalam cinta ghairah tiada ataupun kurang dalam cinta romantis. Selain itu, perbezaannya juga adalah daripada dasar obsesi, di mana cinta ghairah akan menjadikan pasangan obses manakala cinta romantis yang lebih bersifat kepercayaan memberi lebih ruang untuk menjalani kehidupan dengan normal.

Antara yang boleh mengekalkan perasaan cinta adalah dengan usaha. Pasangan harus mempunyai motivasi dan niat untuk meluangkan masa bersama dan melakukan aktiviti-aktiviti bersama. Dengan itu, ia akan merembeskan kimia otak (dopamine dan norepinephrine) yang sering dirembeskan sewaktu awal percintaan.

Mari kita berbincang pula mengenai contoh-contoh cinta yang melakar sejarah mereka tersendiri.

1. Odyssseus dan Penelope

Para pembaca sudah pasti telah banyak membaca mengenai kisah-kisah cinta Greek, paling terkenal sekali Helen dari Troy bersama Paris, yang mengakibatkan Peperangan Trojan. Namun, penulis tidak ingin bercerita mengenai mereka. Hari ini penulis ingin berkongsi mengenai Odysseus dan Penelope.

Pasangan suami isteri ini telah berpisah selama 20 tahun lamanya. Walau bagaimanapun, mereka tetap setia menunggu sama satu lain. Mereka terpisah sebaik sahaja berkahwin kerana Odysseus telah dipanggil untuk berkhidmat ketika perang. Dalam jangka masa lama tersebut, hampir 108 lelaki lain telah merisik dan sedia menjadi galang ganti kepada suaminya, namun Penelope menolak atas dasar setia. Bukan sahaja Penelope, malah Odysseus juga menepis godaan seorang pesihir jelita biarpun ditawarkan kemudaan dan cinta yang berkekalan selamanya, demi menanti saat dia pulang ke pangkuan isteri dan anaknya.

2. Ratu Victoria dan Putera Albert

Apa yang menarik mengenai kisah cinta mereka adalah kesetiaan Ratu Victoria dalam berkabung daripada kematian suaminya, Putera Albert sehinggalah kematiannya sendiri, iaitu selama 40 tahun. Ratu Victoria mengambil alih takhta di England pada tahun 1837 setelah kematian pakciknya,Raja William ke-4. Suaminya, Putera Albert Saxe-Coburg-Gotha, merupakan sepupunya.

Walaupun begitu, terdapat tentangan kerana Putera Albert adalah seorang Jerman.Namun begitu, mereka saling mencintai, malahan Putera Albert menjadi tempat Ratu Victoria bertanyakan pendapat dan nasihat dalam mengendalikan negara.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan sembilan orang anak. Kematian putera Albert memberi kesan yang begitu mendalam terhadap Ratu Victoria hinggakan beliau tidak keluar di khalayak awam selama tiga tahun, sehingga pujukan Perdana Menteri Benjamin Disraeli. Begitupun, beliau masih berkabung sehingga kematiannya pada 1901.

3. Norma dan Gordon Yeager.

Pasangan ini terkenal dengan kisah kematian mereka. Hal ini kerana mereka berdua meninggal dalam keadaan berpegangan tangan. Norma dan Gordon telah kekal berkahwin selama 72 tahun.

Mereka meninggal ketika Norma berusia 90 tahun manakala Gordon pula berusia 94 tahun. Bertemu sewaktu Norma masih belajar di sekolah tinggi, mereka berkahwin setelah Norma tamat pembelajaran dan meninggalkan empat orang anak; satu perempuan dan tiga lelaki.

 4. Fred dan Lorraine Stobaugh

Ini merupakan satu kisah yang menggamit perasaan. Fred kehilangan Lorraine setelah 75 tahun menempuh kehidupan bersama. Terlalu sedih akibat kematian isterinya, Fred, 96 tahun, menulis sebuah lagu khas untuknya.

Hasil nukilannya mendapat perhatian Jacob Colgan di Green Shoe Studios sehingga dia mahu menerbitkan lagu tersebut.

 5.Harold dan Ruth Knapke

Kisah mereka amat manis ketika dibaca. Bertemu sewaktu gred ketiga di sekolah, mereka mula bercinta ketika Perang Dunia Kedua, dan berkahwin sejurus ia tamat. Pasangan ini meninggal pada hari yang sama dengan perbezaan beberapa jam.Istimewanya pasangan ini adalah melalui cara mereka meninggal.

Ruth disahkan menghidap satu penyakit yang jarang dan sukar dirawat. Apabila anak-anak memberitahu bapa mereka, Harold kelihatan tenang, namun anak-anaknya dapat berasa sesuatu yang berubah mengenainya.

Beberapa hari kemudian, salah seorang anak perempuan mereka mendapati bapanya sakit. 3 hari kemudian, bapa mereka meninggal. Mereka memberitahu ibu mereka, dan beliau juga meninggal pada hari yang sama, pukul 6:30 petang. Harold meninggal ketika berusia 91 tahun manakala Ruth pula 89 tahun.

6. Donald dan Nancy Featherstone

Ramai yang mengenali Donald Featherstone sebagai pencipta dekorasi laman berbentuk flamingo merah jambu. Tetapi, bagi mereka yang mengenalinya secara dekat, mereka menggambarkan pasangan ini sebagai pasangan yang amat romantis. Bayangkan, selama 35 tahun, Donald dan Nancy Featherstone memakai pakaian yang serupa kemana-mana mereka pergi!

Menarik, bukan? Penulis saja mengambil kisah-kisah yang jarang didengari kerana kagum dengan kepercayaan dan kesetiaan pasangan-pasangan ini, ciri-ciri yang semakin hilang dalam kehidupan masyarakat sekarang dalam menempuh kehidupan perkahwinan. Berbeza dengan kisah-kisah cinta yang biasa didengari, tidak perlu merentas lautan api mahupun mengumpul sedulang emas hati nyamuk, pasangan-pasangan ini bukti, apabila kepercayaan dan kesetiaan wujud dalam perhubungan, ujian masa juga dapat direntasi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *