Adakah Boleh Menyambut Tahun Baru Masihi?

Jawapannya Ya! Tetapi ada syarat-syaratya,

Antara syarat-syarat menyambut Tahun Baru Masihi :

1. Tidak menganggap ianya adalah satu upacara keagamaan dan tidak dianggap dianggap sebagai ibadat.

Ini adalah kerana perayaan tersebut sempena kelahiran Tuhan Jesus (pegangan Kristian) dan mereka menganggap merayakannya adalah salah satu daripada upacara ibadat dan penggagungan kepada Tuhan mereka.Ini adalah kerana Allah melarang kita menyembah dan beriktiqad sebagaimana iktiqad-iktiqad yang songsang dan batil.

Ini adalah kerana mereka (Kristian) walaupun daripada agama samawi yang dirunkan Allah namun telah dipesongkan. Tapi andainya sekadar menyambut dengan ber mujamalah (dalam bab kesopanan dan kebaikan dalam pergaulan). Firman Allah :“Katakanlah (Wahai Muhammad) : Wahai orang-orang kafir ! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah !dan aku bukan penyembah apa yang kamu sembah ! dan aku tidak pernah menyembah apa yang kamu sembah ! dan kamu tidak pernah pula menjadi penyembah apa yang aku sembah ! untukmu agamamu dan untukku agamaku”. (Surah al-Kafirun : 1-6)

2. Sambutan dilakukan atas dasar Uruf dan Adat.

Dalam Qawaied Fiqhiyyah ada menyebutkan satu kaedah :“al-Aslu fil ashya’ al-Ibahah”. Maksudnya : “Asal hukum sesuatu perkara itu adalah harus”. Ini adalah mengikut Mazhab Syafie yang mengharuskan hukum sesuatu perkara sehinggalah datang dalil mewajibkan dan mengharamkan perkara tersebut. Rasulullah ada bersabda : “Halal itu apa yang telah diperkatakan halal oleh Allah dalam kitab-Nya , haram itu apa yang diperkatakan haram oleh Allah itu dalam kitab-Nya, dan apa tidak diperkatakan oleh-Nya,  (tidak dinyatakan halal dan haram secara qati’e) maka ianya dimaafkan perkara tersebut disisi Allah”. (Hadis Riwayat al-Tarmizi)

Dalam kaedah lain pula menyebut :“al-‘Adat al-Muhakkamah”. Maksudnya : “Adat yang tidak bercanggah dengan syara’ boleh menentukan sesuatu perbuatan dan tindakan”. Begitu juga dalam satu lagi kaedah :Innama tu’tabaru al-‘Adat iza attaradat aw ghalabat“. Maksudnya : “Sesungguhnya sesuatu perkara diiktiraf sebagai adat (yang tidak bercanggah) apabila ianya berterusan dilakukan atau dilakukan oleh majoriti”. Oleh kerana itu, beberapa kaedah diatas menunjukkan bahawa pengaharusan dari sudut hukum untuk kita menyambut perayaan tahun Baru sekiranya ia dianggap sebagai adat dan kebiasaaan setempat mengamalkannya tetapi mestialah sesuai dengan norma-norma Islam.  

3. Menjaga isi kandungan majlis, aktiviti dan setiap slot dalam sambutan tersebut sesuai dengan kehendak syara’.

Sesungguhnya manusia dicipta untuk menghambakan diri kepada Allah bukan kepada nafsu sebagaimana Firman-Nya :“Dan tidaklah aku menciptakan manusia dan jin melainkan untuk menghambakan diri kepada-Ku”.Sepatutnya, sambutan tersebut diisi dengan program dan aturcara-aturcara ilmiah yang dapat membangkitkan naluri dan fitrah kemanusiaan kepada pencipta-Nya yang telah menganugerahkan kehidupan kepada mereka dengan pelbagai nikmat-nikmat.

Firman Allah taala :“Sekiranya kamu menghitung nikmat-nikmat Allah maka nescaya tidak akan terhitung banyaknya”. (Surah Ibrahim : 34) Samada disusun sebagaimana agenda nasyid, sajak, lakonan pentomen, ucapan tazkirah, doa dan lain-lain agar sentiasa melazimi kebaikan dan tolong menolong melakukan kebajikan samada dikalangan muslim mahupun non-muslim. Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah pernah bersabda :“Sesiapa yang menyeru kepada hidayah Allah maka baginya pahala sebagaimana pahala orang yang melakukannya, tidak akan dikurangkan pahala tersebut walaupun sedikitpun”. (Hadis Riwayat Muslim)

Apa yang disarankan oleh Rasulullah kepada umatnya agar kita sentiasa berada dalam nikmat Allah yang banyak itu dengan bersyukur dan sentiasa merenung kepada pemberian tersebut agar hati-hati kita jinak dengan setiap qada’ dan qadar Allah taala. Bahkan antara banyak-banyak doa yang Nabi tuturkan adalah doa memohon kebaikan di dunia dan di akhirat dalam apa jua bentuk pengamalan yang dilakukan. Daripada Anas bin Malik :“Adalah yang paling banyak Nabi berdoa : “Allahumma atina fiddunia hasanah wa fil akhirati hasanah waqina azabannar (Ya Allah ! Berikanlah kami kehidupan didunia akan segala kebaikan dan kehidupan di akhirat juga segala kebaikan serta jauhilah kami daripada neraka-Mu)”. (Hadis Riwayat Tarmizi)

4. Menjaga batas-batas pergaulan antara yang bukan mahram.

Apa yang penting dalam setiap majlis dan program-program yang dilakukan mestilah cuba sedaya upaya untuk menjaga batasan pergaulan. Namun secara kebiasaannya dalam majlis yang besar seperti sambutan Tahun Baru ini, pastinya pelbagai jenis manusia yang hadir dari seluruh pelusuk  dan ceruk muka bumi untuk meraikannya. Samada daripada mana-mana darjat, kedudukan, umur, jenis, agama dan lain-lain.

Oleh itu perlulah sentiasa mengambil ihtimam (mengambil berat) dengan menjaga etika dan sosio pergaulan agar ianya sentiasa dalam landasan syara’. Kerana sudah pastilah dalam medan yang dipenuhi manusia, pelbagai kelakuan yang buruk akan berlaku andainya tidak dijaga. Mestilah sentiasa menjaga pandangan, pendengaran, percakapan dan adab pergaulan. Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah pernah bersabda :“Telah tertulis keatas tiap-tiap anak Adam akan bahagiannya daripada perbuatan zina samada dalam keadaan sedar tentu sahaja : Mata, kedua-duanya berzina dengan cara penglihatan, Telinga, kedua-duanya berzina dengan pendengarannya, Mulut berzina dengan kata-katanya, Tangan, kedua-duanya berzina dengan kekerasan”. (Hadis Riwayat Muslim) Moga dijauhkan kita semua daripada segalanya itu.  

5. Mengharapkan Berkat dan Rahmat daripada Allah taala.

Ketika inilah kita mengambil peluang daripada perhimpunan secara langsung tersebut dengan mengajak seluruh manusia kepada kesatuan dan saling nasihat menasihati dalam pekerjaan agama. Firman Allah taala : “Bertolong-tolonglah kamu semua kepada kebajikan dan mendapatkan taqwa , janganlah kamu bertolong-tolong kepada kejahatan dan permusuhan “.

(Surah al-Maidah : 2) Sabda Rasulullah daripada Abi Ruqayyah Tamim bin ‘Aus al-Darriyyi :“Agama itu adalah Nasihat”. Kami bertanya : “Kepada siapa?”, Lalu Rasulullah berkata : “Kepada Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin-pemimpin orang Islam dan kepada rakyat secara keseluruhan”  (Hadis Riwayat Muslim) Bahkan kita mengaharapkan dengan segenap pekerjaan dan tanggungjawab kita sehari-hari samada dalam persoalan agama, keduniaan, kepentingan negara, kemasyarakatan, ekonomi, kebudayaan, pendidikan dan lain-lain adalah untuk mendapatkan berkat dan rahmat daripada Allah taala. Firman Allah taala : “Dan sekiranya penduduk sesuatu negeri itu beriman nescaya kami akan bukakan (anugerahkan) bagi mereka berkat-berkat daripada langit dan bumi”. (Surah  ).

Kita takut sekiranya majlis dan sambuta Tahun Baru tersebut dilakukan bukan kerana Allah bahkan kerana hawa nafsu dan untuk berseronok dengan perkara dunia yang sia-sia maka Berkat dan Rahmat Allah tidak akan turun kepada kita bahkan azab Allah itu mendahului kepada seluruh negeri. Firman Allah taala : “Peliharalah diri kamu daripada dari siksaan yang tidak hanya menimpa orang-orang yang zalim sahaja dikalangan kamu, ketahuilah bahawa Allah teramat keras siksaannya”. (Surah al-Anfal : 25)  

KESIMPULAN

 Semoga Tahun Baru yang akan disambut malam nanti adalah sebagai satu muhasabah kepada amalan-amalan yang dilakukan sebelum daripada ditahun-tahun yang terdahulu dagar kita mampu sentiasa meningkkatkan potensi diri daripada buruk kepada yang baik, dan daripada yang baik kepada yang lebih baik dan terbaik.

Jadikan Tahun Baru ini momentum kepada sebuah tindakan kerja dan aktiviti seharian agar mengikut kehendak dan landasan Islam yang sepatutnya.Ikhlaskan niat, kenali diri, spesifikkan azam, perbanyakkan amalan, anggarkan keberjayaan, ransang tindakan kearah kebaikan dan positifkan keadaan kerana kita adalah hamba Allah yang Maha Esa.

Kerana sesungguhnya masa itu adalah amat berharga kepada kita sehinggakan Allah taala sendiri yang menukulkan dalam Firman-Nya : “Demi Masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh, dan berpesan-pesan kepada kebaikan serta  berpesan-pesan kepada kesabaran”. (Surah al-Asr : 1-3) Wallahu Waliyyu al-Taufiq

Disediakan Oleh : Muhammad Zuhairi bin Zainal Abidin

Dunia Maklumat

Comments

1 comment… add one
  • Raja Izdihar Link Reply

    Ini adalah kerana perayaan tersebut sempena kelahiran Tuhan Jesus (pegangan Kristian) dan mereka menganggap merayakannya adalah salah satu daripada upacara ibadat dan penggagungan kepada Tuhan mereka.Ini adalah kerana Allah melarang kita menyembah dan beriktiqad sebagaimana iktiqad-iktiqad yang songsang dan batil.

    Ini adalah kerana mereka (Kristian) walaupun daripada agama samawi yang dirunkan Allah namun telah dipesongkan. Tapi andainya sekadar menyambut dengan ber mujamalah (dalam bab kesopanan dan kebaikan dalam pergaulan). Firman Allah :“Katakanlah (Wahai Muhammad) : Wahai orang-orang kafir ! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah !dan aku bukan penyembah apa yang kamu sembah ! dan aku tidak pernah menyembah apa yang kamu sembah ! dan kamu tidak pernah pula menjadi penyembah apa yang aku sembah ! untukmu agamamu dan untukku agamaku”. (Surah al-Kafirun : 1-6)

    adalah salah utk anggap macam tu.. sebab 1st Nabi isa tak lahir 1 January.. keduanya… yang mengishtiharkan 1 January sebagai Tahun baru adalah Julius Ceaser yang menggunakannya utk mengira jumlah hari yang diperlukan oleh bumi utk mengililingi matahari… tiada kene mengena dengan upacara keagamaan…

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.