Kelebihan Lailatul Qadar

Di antara keistimewaan Ramadan juga ialah adanya lailatul qadar, malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Dahulu, para sahabat mengadu kepada Nabi Muhammad SAW berkenaan dengan umur dan kesempatan untuk beribadat. Hal ini kerana umat pada zaman dahulu mempunyai jangka umur panjang yang membolehkan mereka untuk beribadat lebih lama. Disebabkan itu, para sahabat mengadu dengan baginda SAW. Maka, Allah SWT menganugerahkan satu malam yang mana sesiapa yang mendapati malam tersebut merupakan satu keuntungan yang besar bagi mereka. Malam itulah yang dinamakan lailatul qadar yang padanya lebih baik daripada 1000 bulan (iaitu 83 tahun).

Firman Allah SWT yang bermaksud :

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Lailatul qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran  lailatul qadar itu? Malam lailatul qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu sehingga terbit fajar.” (Surah Al-Qadr: 1-5)

Ada juga beberapa fuqaha’ yang berpendapat lailatul qadar merupakan malam paling afdal daripada malam-malam lain bahkan lebih afdal daripada malam Jumaat. Hal ini kerana keistimewaan yang ada pada lailatul qadar tersebut.

Bilakah Waktu Lailatul Qadar ?

Khilaf di antara ulama, bilakah berlakunya malam lailatur qadar? Hal ini berikutan waktu lailatul qadar tersebut dirahsiakan. Antara sebab dirahsiakan ialah untuk manusia berlumba-lumba membuat kebaikan pada setiap malam, bukannya pada satu malam sahaja. Dan juga, disebutkan disebabkan Lailatul qadar mempunyai kebaikan yang banyak dan kemuliaan yang tinggi, maka disembunyikan waktunya.

Namun, ada hadis-hadis Nabi SAW yang menceritakan berkenaan Lailatul qadar sebagai rujukan dan panduan dalam mencari malam tersebut. Daripada Abu Sa’id Al-Khudri r.a,  Nabi SAW  bersabda :

See also  Beza Dosa dan Pahala

إِنِّي أُرِيتُ لَيْلَةَ الْقَدْرِ ثُمَّ أُنْسِيتُهَا أو نُسِّيتُهَا فَالْتَمِسُوهَا في الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِفي الْوتْرِ

“Sesungguhnya aku mengetahui (masa) Lailatul qadar. Kemudian aku dilupakan oleh Allah SWT. Maka carilah malam Lailatul qadar pada 10 akhir (bulan Ramadan), pada setiap malam ganjil.” (Bukhari dan Muslim)

Sebagaimana yang diceritakan oleh Aisyah r.a, apabila masuk 10 malam terakhir Ramadan, Nabi SAW akan menghidupkan malam-malam tersebut dengan lebih berbanding malam-malam yang lain.[1]

Kebanyakkan fuqaha berpendapat dalam menentukan waktu lailatul qadar ialah pada malam 27 Ramadan.[2] Dan inilah yang dipegang oleh para pentahqiq di zaman moden. Mereka berpandukan beberapa hujah:

1-      Daripada Mu’awiyah r.a berkata, “Sesungguhnya Nabi SAW bersabda mengenai malam Lailatul qadar iaitu malam ke-27”.[3]

2-      Ibnu Abbas r.a dalam mentafsirkan Surah Al-Qadr, beliau menyatakan bahawa surah tersebut mempunyai 30 kalimah dan kalimah هي  yang menunjukkan lailatul qadar berada pada kalimah yang ke 27.[4]

Terdapat juga pendapat lain pada malam ke-21 dan ada juga yang mengatakan pada malam ke-23.

Doa Apabila Bertemu Dengan Lailatul Qadar

Berdasarkan riwayat daripada Aisyah r.a, beliau bertanya kepada Nabi Muhammad SAW mengenai apakah yang digalakkan apabila ia bertemu lailatul qadar? Lalu baginda SAW menggalakkan untuk membaca doa ini:

اللهم إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

“Wahai tuhanku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, menyukai kepada (orang yang memohon) keampunan, maka ampunilah akan (dosa-dosa) aku.” (Ibnu Majah)

Cara Menghidupkan Lailatul Qadar[5]

1-      Martabat yang tinggi: Menghidupkan sepenuh malam dengan ibadat-ibadat seperti solat, zikir, baca Al-Quran dan sebagainya.

2-      Martabat pertengahan: Menghidupkan sebahagian besar malam dengan perkara-perkara ibadat.

3-      Martabat yang paling rendah: Solat Isyak berjemaah dan berazam untuk solat Subuh secara berjemaah pada pagi keesokannya.

See also  Bersahur Dan Berbuka Puasa

Disunatkan bagi sesiapa yang mendapat lailatul qadar untuk tidak menceritakan kepada orang lain.

Hadis Nabi SAW,

مَن قام لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ له ما تَقَدَّمَ من ذَنْبِهِ

“Sesiapa yang menghidupkan Lailatul qadar dengan keimanan dan keinsafan maka diampunkan dosa-dosanya yang terdahulu.” (Bukhari)

Wallahu a’lam 

Disediakan oleh :

Muhamad Zuhaili Saiman

[1]  rujuk فقه الإسلامي و أدلته   jilid ke-3

[2]  Hasyiah Baijuri jilid 1, rujuk فقه الإسلامي و أدلته   jilid ke-3 dan Kitab التقريرات السديدة في المسئل المفيد   bab puasa karangan Syeikh Hasan ibnu Ahmad ibnu Muhammad Al-Kaf.

[3]  Hasyiah Baijuri jilid 1

[4]  Hasyiah Baijuri jilid 1

[5]  Hasyiah Baijuri jilid 1 dan Kitab التقريرات السديدة في المسئل المفيد   bab puasa karangan Syeikh Hasan ibnu Ahmad ibnu Muhammad Al-Kaf.

0 comments… add one

Leave a Comment